El Nino: Perak akan tubuh tabung khas bantu sektor terjejas

Iklan
Saarani

IPOH – Kerajaan Perak bercadang mewujudkan satu tabung khas bermula tahun depan bagi membantu golongan petani dan sektor lain yang terjejas akibat fenomena cuaca ekstrem seperti El Nino.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan itu sedang diperhalusi selepas isu kemerosotan pendapatan petani akibat fenomena berkenaan dibawa ke Mesyuarat Exco sebanyak dua kali.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri bagaimanapun perlu mengambil kira kesan fenomena cuaca terhadap semua golongan dan tidak hanya memberi tumpuan kepada satu-satu kumpulan atau kawasan.

"Perkara itu sudah dua kali dibawa ke Mesyuarat Exco untuk membincangkan masalah kehilangan pendapatan petani di Perak Tengah dan kita sedang memperhalusinya.

Iklan

"Pada masa sama, kita tidak boleh mengambil tindakan berasaskan satu-satu kes sahaja kerana jika kita mula membantu satu kumpulan, nanti akan datang laporan daripada Kerian dan kawasan lain. Itu baru satu sektor," katanya ketika sesi soalan lisan sempena Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.

Saarani berkata, kerajaan negeri turut perlu mengambil kira golongan lain yang mungkin terjejas akibat perubahan cuaca termasuk penoreh getah, pekebun kelapa sawit dan nelayan darat.

Iklan

"Sebab itu kita tidak boleh melihat hanya kepada satu kumpulan sahaja. Kita kena melihat secara menyeluruh dan kita pun dah bercadang dalam Mesyuarat Exco itu supaya belanjawan tahun depan kita akan wujudkan satu tabung khas untuk tujuan ini," katanya.

Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi cuaca lebih panas dan kering daripada biasa yang dijangka berlarutan sehingga awal tahun depan.

Katanya, pemantauan berterusan dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bersama agensi teknikal termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Lembaga Air Perak (LAP).

Beliau berkata, LAP turut mengaktifkan pelan mitigasi termasuk mengoptimumkan operasi loji rawatan air, mengurus sumber bekalan, menggerakkan lori tangki, menempatkan tangki statik dan menggunakan sumber air alternatif.