Jangan seret universiti ke gelanggang politik

Iklan
Universiti perlu kekal menjadi tempat ilmu berdiri teguh, pemikiran berkembang dan kebenaran terus dicari.

DALAM suasana politik yang semakin dinamik, universiti tidak seharusnya berubah menjadi gelanggang persaingan politik. Jika pentas politik menjadi tempat parti bertanding merebut kuasa, universiti pula perlu kekal sebagai ruang untuk manusia mencari kebenaran, mengembangkan ilmu dan menguji sesuatu pandangan secara rasional.

Sebagai institusi ilmu, universiti memikul tanggungjawab besar kepada negara. Ia bukan sekadar tempat memperoleh ijazah, tetapi ruang mendidik generasi masa depan, menghasilkan pengetahuan, membentuk pemikiran kritis dan mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah masyarakat.

Iklan
Iklan

Perbezaan pandangan politik sememangnya sihat dalam sebuah negara demokrasi. Namun, apabila politik kepartian dibawa terlalu jauh sehingga mempengaruhi budaya akademik, pengurusan universiti, penyelidikan atau kebebasan pensyarah dan mahasiswa, fungsi hakiki universiti boleh terjejas.

Justeru, dalam kehangatan politik semasa, universiti perlu mempertahankan prinsip berkecuali, kebebasan akademik dan autonomi ilmu.

Iklan

Universiti awam ditubuhkan untuk kepentingan masyarakat dan negara, bukannya menjadi alat mana-mana parti politik. Kerajaan yang memerintah mungkin berubah, parti boleh menang dan kalah, malah pemimpin akan datang dan pergi. Namun, universiti perlu terus berdiri sebagai institusi ilmu yang tidak tunduk kepada perubahan politik semasa.

Atas sebab itu, universiti perlu mempunyai jarak yang sihat daripada politik kepartian. Ini tidak bermaksud perbincangan politik perlu disekat atau mahasiswa perlu dijauhkan daripada realiti politik negara. Sebaliknya, universiti sepatutnya menjadi antara ruang paling subur untuk politik dibincangkan secara ilmiah.

Iklan

Mahasiswa perlu diberikan peluang memahami dasar kerajaan, ideologi parti, demokrasi, Perlembagaan, ekonomi, hubungan etnik dan pelbagai isu masyarakat. Pensyarah pula perlu mempunyai ruang untuk menjalankan penyelidikan serta mengemukakan pandangan berdasarkan bukti dan kaedah akademik.

Universiti boleh membincangkan politik sebagai salah satu cabang ilmu, tetapi tidak wajar berpihak kepada mana-mana parti.

Di sinilah pentingnya kebebasan akademik. Tanpa kebebasan untuk mempersoalkan sesuatu perkara, menyelidik, mengkritik dan mengemukakan pandangan berasaskan ilmu, universiti akan kehilangan sebahagian daripada makna kewujudannya.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) turut meletakkan peningkatan autonomi universiti sebagai sebahagian daripada agenda transformasi pendidikan tinggi.

Pelan tersebut menggariskan peralihan kuasa dalam bidang akademik, tadbir urus, sumber manusia, kewangan dan perolehan kepada institusi yang memenuhi tahap kesediaan tertentu.

Autonomi ini penting bukan kerana universiti mahu bebas daripada negara, tetapi kerana institusi ilmu memerlukan ruang untuk membuat pertimbangan berdasarkan kepakaran, bukti dan pertimbangan akademik.

Namun, kebebasan akademik juga tidak boleh ditafsirkan sebagai kebebasan tanpa batas. Pensyarah tetap terikat dengan etika akademik, undang-undang, integriti penyelidikan dan tanggungjawab kepada masyarakat. Kebebasan mesti berjalan seiring dengan amanah dan tanggungjawab.

Berkecuali pula bukan bermaksud tidak mempunyai pendirian. Ia juga bukan alasan untuk universiti membisu atau berdiam diri apabila berdepan sesuatu isu.

Universiti boleh mengkritik sesuatu dasar jika terdapat kelemahan berdasarkan kajian dan bukti. Pada masa yang sama, universiti juga perlu mengiktiraf dasar yang baik apabila fakta dan dapatan ilmiah menyokongnya.

Yang perlu dielakkan ialah menjadikan universiti sebagai instrumen propaganda pihak tertentu yang berkepentingan.

Ahli akademik sememangnya mempunyai hak untuk mempunyai pendirian politik sebagai individu. Namun, kedudukan akademik perlu dibezakan daripada kedudukan politik kepartian. Pandangan akademik hendaklah bersandarkan penelitian, data, teori, metodologi dan hujah yang boleh diuji.

Dengan cara itu, universiti boleh berperanan sebagai pengkritik yang konstruktif, bukannya pengikut yang membuta tuli atau penentang yang menolak segala-galanya.

Prinsip ini juga selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menekankan pembangunan individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, selain berilmu, berketerampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab.

Matlamat tersebut tidak mungkin dicapai jika pendidikan hanya digunakan untuk membentuk manusia yang mengikut tanpa berfikir atau menerima sesuatu pandangan secara membuta tuli.

Sebaliknya, universiti perlu melahirkan manusia yang berani berfikir, mampu menilai dan bijak membuat pertimbangan.

Mahasiswa perlu belajar bahawa dalam masyarakat demokratik, seseorang boleh tidak bersetuju dengan sesuatu pandangan tanpa membenci individu yang mengemukakannya. Mereka juga perlu memahami bahawa ilmu tidak mengenal sempadan parti.

Inilah budaya intelektual yang perlu dibangunkan di universiti.

Dalam konteks Malaysia yang mempunyai kepelbagaian agama, etnik, budaya dan pandangan politik, universiti mempunyai peranan strategik dalam menyediakan ruang pertemuan antara kelompok yang berbeza.

Mahasiswa perlu didedahkan kepada pelbagai perspektif supaya mereka tidak terperangkap dalam ruang pemikiran yang tertutup dan hanya mendengar pandangan yang mengukuhkan kepercayaan sendiri.

Keterbukaan kepada perbezaan pula tidak bermaksud menerima semua pandangan sebagai benar. Sebaliknya, ia bermaksud memberikan ruang kepada sesuatu pandangan untuk didengar, dinilai dan diuji secara rasional.

Daripada proses itulah lahir masyarakat yang matang.

Kita perlu mengakui hakikat bahawa politik akan sentiasa berubah. Kerajaan akan bertukar, parti akan menang dan kalah, manakala pemimpin akan datang dan pergi.

Namun, universiti perlu terus berdiri.

Universiti yang terlalu dekat dengan kuasa politik berisiko kehilangan kepercayaan masyarakat. Lebih membimbangkan, kedudukannya sebagai institusi ilmu yang objektif juga boleh terjejas.

Universiti perlu menyokong negara, tetapi tidak semestinya menyokong setiap keputusan kerajaan. Universiti perlu menghormati kerajaan yang dipilih secara demokratik, tetapi pada masa sama mempunyai kebebasan untuk menilai dan mengkritik dasar kerajaan berdasarkan ilmu, fakta dan bukti.

Akhirnya, universiti harus kembali kepada tujuan asas penubuhannya – mencari kebenaran, mengembangkan ilmu, membentuk manusia dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Dalam kehangatan politik, jangan biarkan universiti kehilangan fungsinya.

Politik boleh berubah. Kuasa boleh bertukar tangan. Tetapi universiti perlu kekal menjadi tempat ilmu berdiri teguh, pemikiran berkembang dan kebenaran terus dicari.

Jika universiti mampu kekal bebas, berkecuali dan berintegriti, ia bukan sahaja mempertahankan maruah institusi akademik, malah membantu melahirkan generasi Malaysia yang matang dalam berpolitik, terbuka dalam berfikir dan bertanggungjawab dalam kehidupan bermasyarakat.

Itulah universiti yang benar-benar mendokong aspirasi pendidikan negara.

* Penulis ialah pensyarah di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia dan Penyelidik Tamu di University of Bonn, Germany.