MB Negeri Sembilan enggan ulas isu tandatangan

Iklan
Ismail enggan memberikan sebarang komen berhubung dakwaan dokumen proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz yang dikatakan ditandatanganinya pada 3 Ogos lalu.

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memilih untuk tidak mengulas mengenai dakwaan dokumen proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang dikatakan ditandatanganinya pada 3 Ogos lalu.

Ismail ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sebuah hotel di sini hanya tersenyum sambil mengangkat kedua-dua tangannya apabila ditanya mengenai perkara itu.

Iklan
Iklan

Beliau sebelum itu sempat menyapa mesra pengamal media yang setia menantinya di lobi hotel sejak jam 11 malam, meskipun waktu ketika itu hampir jam 2 pagi.

"Tak tidur lagi ke?" katanya ringkas.

Iklan

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau mahu memberikan sebarang komen berhubung dakwaan berkenaan, Ismail memaklumkan tiada sebarang ulasan untuk diberikan.

Ismail (kanan) selepas selesai Mesyuarat Exco di sebuah hotel di Seremban.

Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan krisis istana Negeri Sembilan dijangka lebih meruncing apabila Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai menunjukkan dokumen yang didakwa proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dokumen berkenaan dikatakan mempunyai tandatangan Ismail dan dikongsi kepada pemberita dalam satu sidang media di Galeri Diraja Tuanku Jaafar di sini pada malam Selasa.

Sidang media yang bermula sekitar jam 10.45 malam itu dihadiri oleh Datuk Maarof Mat Rashad, Abdul Rahim Yassin dan Undang Luak Johol, Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Muhammed Abdullah.

Pada 6 September lalu, Ismail menerusi kenyataan media menzahirkan sokongan taat setia kepada Tuanku Muhriz serta menegaskan tumpuannya kini adalah melaksanakan amanah sebagai Menteri Besar demi kepentingan rakyat dan negeri.

"Saya bersama kerajaan negeri menzahirkan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz," katanya.

Kenyataan media itu dikeluarkan susulan kenyataan bersama Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai pada 5 September lalu yang mendakwa Ismail telah menandatangani dokumen proklamasi tersebut.

Namun timbul tanda tanya mengenai kesahihan perkara tersebut kerana tidak dibuktikan dokumen proklamasi berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail turut menafikan dakwaan penglibatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sebarang usaha untuk menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Menurut Ismail, beliau sentiasa menyokong Timbalan Perdana Menteri itu serta seluruh barisan kepimpinan UMNO yang sentiasa menjunjung Institusi Raja-Raja Melayu serta prinsip Raja Berperlembagaan.

“Merujuk kepada laporan yang disiarkan oleh The Straits Times bertarikh 8 September 2026, saya ingin menafikan dakwaan penglibatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sebarang usaha untuk menurunkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan," katanya.