CGC Digital bantu PMKS atasi tiga jurang pembiayaan

Iklan
Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital, Yushida Husin

CABARAN mendapatkan pembiayaan sering menjadi antara tembok terbesar yang perlu ditempuh oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Namun dalam landskap pembiayaan yang semakin berkembang dan menawarkan pelbagai pilihan, persoalannya bukan lagi sekadar mengenai ketiadaan dana atau sukarnya mendapatkan akses kepada institusi kewangan.

Iklan
Iklan

Sebaliknya, adakah usahawan benar-benar mengetahui pilihan yang tersedia, mampu mengenal pasti produk yang sesuai dengan keadaan perniagaan dan tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya permohonan pembiayaan tidak berjaya?

Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital, Yushida Husin berkata, tiga jurang inilah yang sering menghalang PMKS daripada mengambil langkah seterusnya.

Iklan

Menurutnya, jurang tersebut merangkumi kekurangan ilmu mengenai pilihan pembiayaan yang tersedia, kesukaran mengenal pasti produk yang benar-benar sesuai dengan profil perniagaan serta ketidakpastian mengenai tindakan yang perlu diambil selepas sesuatu permohonan tidak berjaya.

Yushida berkata, landskap pembiayaan yang semakin pelbagai sebenarnya boleh menimbulkan kekeliruan kepada PMKS jika mereka tidak mempunyai panduan yang jelas.

Iklan

“Cabarannya bukan sekadar kekurangan maklumat, tetapi bagaimana PMKS boleh mendapat panduan lebih jelas tentang pilihan yang tersedia, produk yang sesuai dan langkah seterusnya yang perlu diambil.

“Pertama ialah jurang ilmu, apabila PMKS mungkin tidak mengetahui pilihan pembiayaan atau sokongan perniagaan yang tersedia khusus untuk mereka.

“Kedua, jurang kesesuaian. Walaupun terdapat pelbagai pilihan, mereka mungkin menghadapi kesukaran untuk memilih produk pembiayaan yang benar-benar sesuai dengan profil perniagaan, tahap pertumbuhan atau tujuan pembiayaan,” katanya kepada Bisnes Sinar baru-baru ini.

Menurutnya, cabaran ketiga ialah jurang tindakan apabila sesetengah PMKS tidak pasti langkah yang perlu diambil selepas permohonan pembiayaan mereka ditolak atau apabila gagal dipadankan dengan pilihan yang bersesuaian.

Bagi Yushida, memperkukuh akses kepada pembiayaan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada memperkenalkan lebih banyak produk.

Sebaliknya, usaha itu perlu melibatkan pembinaan perjalanan pengguna yang lebih terpandu dan saling berhubung supaya PMKS tidak dibiarkan mencari jawapan sendiri di tengah-tengah pelbagai pilihan yang tersedia.

“PMKS memerlukan panduan bermula daripada mengenal pasti pilihan yang ada, menentukan produk yang sesuai sehingga mengetahui langkah seterusnya yang boleh diambil.

“Melalui imSME, PMKS boleh meneroka pilihan pembiayaan serta mendapatkan sokongan yang relevan berdasarkan keperluan mereka,” katanya.

Platform imSME dibangunkan bagi menghimpunkan pilihan pembiayaan khusus untuk PMKS dalam satu ekosistem digital, sekaligus membantu memudahkan proses yang sebelum ini mungkin dilihat rumit.

Melalui platform itu, usahawan boleh meneroka jenis pembiayaan yang tersedia, mencari produk yang bersesuaian dan membuat permohonan dengan menghubungkan mereka kepada institusi kewangan bertauliah serta platform pembiayaan rakan setara (P2P) yang menawarkan produk khusus untuk PMKS.

Selain itu, CGC Digital turut bekerjasama dengan rakan ekosistem dalam membangunkan produk jaminan digital bagi membantu menangani jurang pembiayaan yang masih wujud.

Peranan teknologi

Mengulas peranan teknologi, Yushida berkata, digitalisasi membolehkan perjalanan mendapatkan pembiayaan menjadi lebih lancar dan cekap.

Yushida berkata, usahawan perlu memahami kedudukan kewangan perniagaan, mempunyai tujuan pembiayaan yang jelas dan mengetahui kemampuan sebenar perniagaan

Menerusi imSME, PMKS boleh mengemukakan maklumat perniagaan sebelum dipadankan secara digital dengan produk pembiayaan yang bersesuaian daripada penyedia pembiayaan.

CGC Digital juga terus mempertingkatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) menerusi iDA, iaitu pembantu digital imSME yang membantu pengguna mendapatkan maklumat dan panduan ketika menggunakan platform tersebut.

Menurutnya, syarikat itu turut meneroka potensi Agentic AI untuk meningkatkan lagi pengalaman pengguna, selain menyokong operasi hariannya.

Pada masa sama, pengumpulan dan penggunaan data yang relevan penting bagi mendigitalkan proses penilaian kredit.

“Data membolehkan enjin penilaian dibangunkan supaya sistem dapat menilai permohonan dengan lebih cekap, sekali gus membantu memendekkan tempoh pemprosesan pembiayaan.

“Secara keseluruhannya, teknologi, data dan AI membantu mengurangkan kerumitan, meningkatkan pengalaman pengguna dan menjadikan proses pembiayaan lebih cekap,” katanya.

Bagi usahawan yang mempunyai rekod atau profil kredit terhad, termasuk perniagaan yang masih baharu, imSME menyediakan ruang untuk mereka membandingkan pilihan pembiayaan dan meneroka akses kepada pembiayaan alternatif.

Platform itu menggunakan teknologi pemadanan perniagaan bagi membantu memadankan PMKS dengan produk yang sesuai berdasarkan profil dan keperluan pembiayaan mereka.

Selain akses kepada pembiayaan, usahawan turut boleh meningkatkan keupayaan menerusi CGC Developmental Programme**®**, yang menawarkan latihan berkala secara percuma kepada PMKS melalui imSME.

Program tersebut memberi tumpuan kepada usahawan untuk memperkukuh pengetahuan dan keupayaan perniagaan, khususnya bagi usahawan yang masih belum bersedia sepenuhnya untuk mendapatkan pembiayaan.

Dalam pada itu, Yushida menasihatkan usahawan mikro supaya tidak hanya bertanya di mana mereka boleh mendapatkan pembiayaan.

Sebaliknya, persoalan lebih penting ialah sama ada perniagaan mereka benar-benar bersedia untuk mendapatkan pembiayaan.

“Usahawan perlu memahami kedudukan kewangan perniagaan, mempunyai tujuan pembiayaan yang jelas dan mengetahui kemampuan sebenar perniagaan.

“Mereka juga perlu memahami pelbagai produk dan peluang pembiayaan yang tersedia serta mengenal pasti pilihan yang sesuai dengan keperluan dan tahap pertumbuhan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, permohonan yang tidak berjaya tidak seharusnya dianggap sebagai noktah kepada usaha mendapatkan pembiayaan.

Sebaliknya, PMKS perlu mengenal pasti kelemahan atau jurang yang menyebabkan permohonan tidak berjaya sebelum memperkukuh aspek berkenaan dan bersedia untuk peluang seterusnya.

Antara kesilapan yang sering berlaku ialah membuat permohonan ketika rekod kewangan tidak lengkap atau tidak dikemas kini, sekaligus menyukarkan pihak pembiaya membuat penilaian menyeluruh terhadap perniagaan.

Rekod prestasi atau pengalaman perniagaan yang masih terhad juga boleh mempengaruhi permohonan, begitu juga dengan rekod kredit yang kurang baik termasuk rekod berkaitan CCRIS dan CTOS.

PMKS turut disaran memahami syarat dan kriteria kelayakan sesuatu produk sebelum mengemukakan permohonan bagi mengelakkan permohonan dibuat terhadap produk yang tidak sepadan dengan keperluan atau profil perniagaan.

Bagi meningkatkan peluang kelulusan, usahawan perlu membina asas kewangan yang kukuh dengan memastikan rekod kewangan lengkap dan sentiasa dikemas kini, selain memahami aliran pendapatan serta aliran tunai perniagaan.

Tujuan pembiayaan juga perlu jelas, termasuk jumlah yang diperlukan, bagaimana dana akan digunakan dan kemampuan perniagaan untuk menyokong pembayaran balik.

“Kesediaan untuk mendapatkan pembiayaan perlu dilihat sebagai proses berterusan, bukan sesuatu yang hanya diberi perhatian apabila pembiayaan diperlukan.

“Disiplin kewangan yang baik hari ini dapat membantu meletakkan perniagaan pada kedudukan yang lebih kukuh pada masa hadapan,” katanya.

Kesimpulannya, dalam landskap pembiayaan yang semakin kompleks,persediaan yang konsisten, rekod kewangan yang baik dan pemahaman terhadap keperluan sendiri boleh menjadi langkah awal untuk memastikan apabila peluang pembiayaan tiba, perniagaan benar-benar berada dalam kedudukan untuk merebutnya.

Prestasi imSME

Jumlah Pelawat Sejak 2018 → 3.22 juta

Jumlah PMKS Berdaftar → 148.6 ribu

Jumlah Pembiayaan Diluluskan → 6,326 kelulusan (berjumlah RM628.9 juta)

Produk Pembiayaan → Lebih 100 produk

Kerjasama → Sehingga 40 rakan kerja

*Sumber CGC Digital

* Data setakat 31 Mac 2026