Matrade, DNeX perkasa eksport PMKS menerusi platform digital

Iklan
Matrade menjalin kerjasama strategik dengan Dagang NeXchange Berhad (DNeX) bagi memperkukuh ekosistem perdagangan digital negara menerusi integrasi platform MADANI Digital Trade Platform (MDTP) dan DNeX TradeHub. Foto hiasan

PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menjalin kerjasama strategik dengan Dagang NeXchange Berhad (DNeX) bagi memperkukuh ekosistem perdagangan digital negara menerusi integrasi platform MADANI Digital Trade Platform (MDTP) dan DNeX TradeHub.

Kerjasama yang dimeterai melalui Memorandum Kerjasama (MoC) itu dijangka memudahkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menguruskan proses eksport serta pengisytiharan kastam menerusi satu platform digital bersepadu.

Iklan
Iklan

Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican berkata, kerjasama tersebut merupakan inisiatif strategik jangka panjang bagi menangani keperluan serta cabaran yang semakin kompleks dalam landskap perdagangan global.

"Dengan menyediakan perkhidmatan fasilitasi perdagangan digital yang lancar, inisiatif ini dijangka meningkatkan kemudahan dan kecekapan komuniti pengeksport dalam menjalankan aktiviti perdagangan.

Iklan

"Ini termasuk e-dagang rentas sempadan, selain membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan pendigitalan perdagangan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Majlis pemeteraian disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Abu Bakar Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif DNeX IT, Shiraz Ramli, disaksikan Reezal Merican dan Pengerusi DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Iklan

MoC tersebut turut menyokong hala tuju MATRADE 2026 dan aspirasi RMK13 bagi memperkukuh ekosistem eksport negara, meningkatkan mobiliti ekonomi serta daya saing PMKS melalui perdagangan antarabangsa, selain menambah sumbangan mereka kepada prestasi eksport keseluruhan Malaysia.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, kerjasama dengan DNeX akan mengukuhkan usaha Matrade dalam mengekalkan momentum pertumbuhan eksport, terutama dalam kalangan pengeksport tempatan termasuk PMKS.

Katanya, Matrade komited memudah cara pertumbuhan eksport PMKS pada kadar antara enam hingga tujuh peratus seperti disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

"Bagi mencapai sasaran itu, inisiatif sedia ada menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan serta kerjasama strategik dengan pemain industri akan terus dipergiat,” katanya.

Sementara itu, sebagai rakan fasilitasi perdagangan, DNeX akan menyediakan akses kepada platform digital DNeX TradeHub bersama sokongan teknikal dan kepakaran bagi mengintegrasikannya dengan MDTP.

DNeX turut akan membantu proses penyertaan PKS dan pengeksport serta bekerjasama rapat dengan MATRADE bagi memperluas penggunaan penyelesaian perdagangan digital.

DNeX TradeHub ialah platform yang menghubungkan perniagaan, agensi kerajaan dan rakan ekosistem perdagangan menerusi satu gerbang digital bersepadu. Platform itu menghimpunkan perkhidmatan pengisytiharan kastam, logistik, pembiayaan perdagangan serta pelbagai perkhidmatan nilai tambah dalam satu persekitaran digital yang menyeluruh.

Inisiatif itu turut membuka peluang baharu kepada rakan logistik, institusi pembiayaan dan syarikat teknologi dalam ekosistem perdagangan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan digital serantau.

Syed Zainal berkata, daya saing Malaysia dalam perdagangan global semakin bergantung kepada tahap kesalinghubungan infrastruktur perdagangan negara.

"Kerjasama dengan MDTP akan memperkukuh ekosistem ini dengan memudahkan akses kepada perkhidmatan perdagangan, mengurangkan kerenah proses serta membolehkan syarikat Malaysia bersaing dengan lebih cekap di pasaran serantau dan global,” katanya.