AJAL, maut, rezeki dan jodoh semuanya di tangan Tuhan. Itu konsep asas yang setiap daripada kita patut faham. Namun, apabila berita perkahwinan legenda Harimau Malaya, Datuk Abdah Alif, 72, dengan gadis berusia 20-an menjadi tular, ramai pula yang tiba-tiba sibuk mempertikaikan jodoh orang lain.
Beza umur 52 tahun itu memang besar. Merak Jalanan pun tidak menafikan. Kalau lihat pada angka boleh buat kita terdiam seketika tetapi dah jodoh mereka, siapalah kita untuk mempersoalkannya.
Iklan
Iklan
Pelbagai andaian kurang enak membanjiri ruang komen. Pelik sungguh perangai netizen. Apabila orang berpasangan secara sah mengikut hukum agama dan undang-undang, masih ada juga yang tak puas hati.
Padahal, jika kedua-dua belah keluarga sudah merestui, kenapa kita pula nak menghakimi? Daripada sibuk memikirkan jodoh orang lain, lebih baik kita cermin diri sendiri.
Apa pun bagi mereka yang masih bujang, tidak perlulah rasa tercabar atau berduka lara melihat berita ini. Teruskan berdoa dan berusaha. Mana tahu, jodoh anda sedang menunggu di tempat yang tidak pernah kita sangka. Mungkin lambat sedikit, mungkin cepat, mungkin ketika kita sudah hampir berputus asa. Begitulah misterinya jodoh.
Kepada Datuk Abdah dan isteri, selamat pengantin baru. Semoga rumah tangga yang dibina sentiasa dilindungi dan berbahagia hingga ke syurga.
Merak Jalanan cuma ingin berpesan, kita boleh mempunyai pandangan tetapi tidak semestinya perlu menghukum. Jarak umur hanya pada angka kerana yang penting ialah keikhlasan, kasih sayang dan niat seseorang. Jodoh orang lain, biarlah mereka yang menjalaninya. Kita doakan yang baik-baik sahaja.