KOTA BHARU – “Dr Ainul ada menyuarakan hasratnya untuk menyambung pengajian dan menjadi doktor pakar. Itulah perbualan terakhir kami.”
Demikian luahan bapa kepada Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada Selasa.
Bapanya, Kamaruddin Salleh, 69, seorang pesara guru, berkata hasrat tersebut disampaikan oleh anaknya ketika pulang ke kampung bersama suami, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, pada cuti sekolah baru-baru ini.
“Sebagai bapa saya menyokong hasrat itu dan memaklumkan kepadanya supaya mendapatkan keizinan suami terlebih dahulu.
“Kami gembira apabila mengetahui perancangannya untuk melanjutkan pengajian sebagai doktor pakar di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian. Jika berjaya, dapatlah dia pulang berkhidmat di Kelantan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara bawa lima penumpang terhempas - CAAM
Nahas helikopter: Status mangsa belum dipastikan, SAR sedang dijalankan – Polis Sarawak
Nahas helikopter: KKM hubungi waris, ahli keluarga mangsa
Nahas helikopter: KKM maklum Dr Ainul meninggal dunia - Keluarga
Residen Miri sahkan semua mangsa helikopter terhempas meninggal dunia
Nahas helikopter: Al-Fatihah buat Kapten Zainol Afiq - Adik ipar mangsa
Nahas helikopter: Ibu Dr Ainul pengsan terima khabar duka - Bapa
Dr Ainul merupakan antara lima individu yang terkorban selepas helikopter FDS yang dinaiki terhempas dan terbakar di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, pedalaman Baram.
Terdahulu, kesemua mangsa nahas helikopter tersebut disahkan meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.40 petang.
Laporan Borneo Post yang memetik Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri merangkap Residen Miri, Galong Luang, menyatakan bahawa semua lima individu yang berada di dalam helikopter itu maut selepas pesawat berkenaan terhempas di hujung landasan STOLport Long Lellang.
Menurut beliau, pengesahan kematian dibuat berdasarkan laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, Kamaruddin berkata, beliau dan isterinya, Rogayah Mohd Noor, 69, yang juga seorang pesara guru, sentiasa berharap anak mereka dapat kembali berkhidmat di negeri kelahirannya.
Menurutnya, Dr Ainul yang merupakan anak keempat daripada lima beradik telah mendirikan rumah tangga sejak tiga tahun lalu, namun masih belum dikurniakan cahaya mata.
“Kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuknya dan bangga dengan dedikasinya sebagai seorang doktor yang berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.