SHAH ALAM - Helikopter membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas di hujung landasan Lapangan Terbang Long Lellang, Marudi, Sarawak pada Selasa merupakan milik sebuah syarikat yang disewakan bagi memberikan perkhidmatan doktor udara.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, perkhidmatan berkenaan melibatkan laluan dari Miri ke Ba Lai, Long Siut dan Long Lellang, Marudi.
Menurutnya, kejadian itu disahkan berlaku pada jam 3.32 petang.
"Status kesemua mangsa masih belum dapat dipastikan," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebuah helikopter membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Long Lellang STOLport di Marudi, Sarawak pada Selasa.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan, helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF itu sedang menjalankan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara ketika kejadian.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang diusahakan berikutan lokasi kejadian yang agak terpencil dan mengambil masa kira-kira 10 jam perjalanan darat dari Marudi.
Katanya, bantuan melalui udara pula belum dapat dilakukan berikutan keadaan cuaca berjerebu selain tidak mendapat kebenaran terbang daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dari Pengkalan Udara PDRM Kuching.
"Operasi mencari dan menyelamat pada masa kini bergantung kepada bantuan penduduk kampung, anggota RELA serta polis bantuan di Lapangan Terbang Long Lellang.
"Pasukan mencari dan menyelamat akan seberapa segera tiba di lokasi kejadian. Butiran penumpang yang terlibat akan disahkan kemudian," katanya.
Mohamad Zainal berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan bersama Bahagian Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan.