KUALA LUMPUR – Gabungan SG4 yang terdiri daripada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis terbuka untuk menjadi negeri perintis bagi kajian penggunaan teknologi nuklear melalui Reaktor Modular Kecil (SMR) sebagai alternatif penjanaan tenaga negara pada masa depan.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, teknologi reaktor nuklear berskala kecil itu wajar dipertimbangkan berbanding loji nuklear berskala besar bagi memenuhi keperluan tenaga negara.
"Walau bagaimanapun, apa yang kita bincangkan bukanlah loji tenaga nuklear berskala besar seperti Fukushima," katanya dalam sidang akbar sempena Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Isnin.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, pernah melawat sebuah stesen janakuasa nuklear di luar negara dan melihat sendiri saiz reaktor serta kemudahan berkaitan.
Berdasarkan pengalaman itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berpandangan, Malaysia wajar meneliti penggunaan reaktor nuklear berskala kecil yang mampu menjana tenaga pada skala lebih rendah.
"SG4 terbuka untuk meneliti peluang bagi mengkaji teknologi berkenaan dengan lebih lanjut, termasuk potensinya untuk dipertimbangkan dalam perancangan tenaga negara.
"Keterbukaan itu bukan sahaja melibatkan empat negeri berkenaan, malah negeri lain di Malaysia sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri perlu diberikan kuasa lebih besar untuk menentukan keutamaan pembangunan infrastruktur masing-masing tanpa terlalu bergantung kepada keputusan kerajaan Persekutuan.
Malah menurutnya, perbezaan keutamaan antara peringkat kerajaan menjadi antara cabaran dalam mendapatkan sokongan bagi pelaksanaan projek yang dianggap penting oleh pentadbiran negeri.
"Saya fikir inilah antara isu utama yang sedang kita hadapi dalam hubungan dengan kerajaan Persekutuan. Ada kalanya, perkara yang menjadi keutamaan kita tidak menjadi keutamaan mereka.
"Pada pandangan saya, isu ini perlu diselesaikan melalui penambahbaikan hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan,” jelasnya.