Tikam di sekolah: Keputusan diketahui 14 September

Iklan
Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat selepas kejadian tikam di sekolah menengah di Bandar Utama pada Oktober tahun lalu. Gambar kecil: Kitson

SHAH ALAM - Keputusan kes seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh pelajar perempuan 16 tahun dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama tahun lalu, akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 14 September depan.

Peguam, Kitson Foong yang mewakili tertuduh juvana itu berkata, Hakim, Adlin Abdul Majid menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan lisan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Iklan
Iklan

"Pihak pendakwaan pula berhujah bahawa penama itu waras ketika kejadian, menyedari tindakannya dan telah merancang pembunuhan itu.

"Sekali gus mereka mendakwa semua elemen kesalahan itu telah terbukti," kata Kitson selepas prosiding selesai.

Iklan

Perbicaraan kes bela diri seorang remaja lelaki itu, berakhir pada 26 Ogos lalu dengan prosiding pendakwaan dan pembelaan berlangsung selama 10 hari bermula 3 Ogos lalu.

Pada 16 Januari, Mahkamah Majistret Petaling Jaya diberitahu bahawa laporan psikiatri mengesahkan remaja terbabit layak dibicarakan.

Iklan

Remaja itu yang ketika kejadian berusia 14 tahun dan merupakan pelajar Tingkatan Satu kelas peralihan, didakwa membunuh rakan sekolahnya antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.

Tiada pengakuan direkodkan daripada remaja berkenaan kerana pertuduhan membunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak melebihi 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menetapkan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun.

Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz, Ahmad Iqbal Azman dan Nurul ‘Izzati Mohamad.

Sementara itu, pihak pembelaan turut diwakili peguam, Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei.