MELAKA - Penganjur Karnival Anak Muda mengambil keputusan mengekalkan kemenangan hadiah utama Yamaha RXZ yang dimenangi seorang wanita berusia 54 tahun pada Ahad lalu walaupun tidak memenuhi syarat kelayakan penyertaan.
Wakil penganjur, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, penganjur pada awalnya menerima aduan sebelum semakan mendapati memang berlaku kesilapan teknikal apabila wanita berkenaan berjaya melepasi proses pendaftaran walaupun had umur ditetapkan antara 18 hingga 50 tahun.
Susulan itu, pihaknya telah menghubungi wanita berkenaan untuk memberikan penjelasan dan selepas berbincang, wanita itu bersetuju untuk memulangkan semula hadiah berkenaan walaupun dalam keadaan berat hati, manakala penganjur pula berjanji memberikan pampasan dalam bentuk wang tunai.
“Jadi, kita ingat dah selesai. Rupa-rupanya, esok paginya bila saya bangun, dah tular. Anak dia rupanya ada kongsi dekat media sosial, cakap seolah-olah macam maknya dizalimi, maknya dimalukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Ketua Pemuda UMNO itu berkata demikian ketika menjelaskan secara terbuka selepas tular berhubung kekeliruan yang berlaku selepas wanita berkenaan memenangi hadiah utama berupa sebuah Yamaha RXZ, namun kemudiannya diminta memulangkan semula motosikal itu.
Pihaknya menegaskan, tiada niat untuk memalukan wanita berkenaan, sebaliknya sebelum kenyataan itu dikeluarkan, wanita berkenaan serta suaminya telah bersetuju untuk menerima pampasan berupa wang tunai.
“Tapi saya tak bagitahulah wang tunai itu berapa sebab saya nak minta hari ini, bila kita cabut esok, minta Yang Amat Berhormat akan umumkan berapa pampasan yang kita nak bagi kepada wanita tersebut.
“Jadi saya rasa sangat-sangat bertanggungjawab untuk jelaskan kerana memberikan kesan yang merosakkan nama baik saya dan juga nama baik penganjur iaitu Kerajaan Negeri Melaka.
“Tak apalah, akak dah buat keputusan untuk tak setuju nak bagi dan buat keputusan pula anak dah sebar dalam media sosial, suami pun dah sebar dalam media sosial seolah-olah nak memburukkan kami, kami terimalah.
“Dan kami pun anggap kami pun tak nak panjang cerita ini, RXZ yang akak dapat itu akak ambillah,” katanya.
Katanya, cabutan bertuah baharu tetap diteruskan pada Selasa dengan hadiah kemenangan berupa motosikal akan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.
“Kami ini jenis yang akan mengotakan apa yang diperkatakan. Jadi kalau kita dah janji lain, buat lain, jadi nampak tak sedap kan?
“Jadi kepada semua peserta yang hampir dekat 40,000, semua masih ada lagi harapan untuk menang petang ini untuk kita cabut cabutan bertuah. Insya-ALLAH, minggu depan boleh tebus motor itu dekat Seri Negeri,” katanya.
Sementara itu, siaran langsung cabutan semula diadakan jam 4.45 petang di platform Facebook Kerajaan Negeri Melaka.
Cabutan disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dengan Nurathiqah Zaidi, 24, dari Bukit Katil diumumkan sebagai pemenang.