GERIK - Peserta pendakian Gunung Trans Gerah (Trans GBB), Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, mengakui aktiviti pendakian sudah menjadi hobi utama keluarganya sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, isteri dan dua anaknya masing-masing berusia 9 dan 13 tahun juga sudah terbiasa mengikuti setiap pendakian hingga sering menyertai pelbagai ekspedisi bersama keluarga.
"Anak-anak memang dah biasa ikut hiking, termasuk yang kecil sekali. Dari segi fizikal mereka okay, tapi kita kena jaga mental supaya mereka enjoy perjalanan," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini pada Selasa.
Terdahulu, media melaporkan empat sekeluarga bersama dua malim gunung dikhuatiri hilang selepas mereka gagal keluar mengikut jadual di Pos Kemar pada 3 September lalu.
Keenam-enam individu itu dilaporkan memulakan pendakian merentas tiga puncak gunung iaitu Gerah, Bilah dan Bieh (Trans GBB) pada 29 Ogos lalu.
Selain Wan Ahmad Aslam, turut terlibat ialah isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, dan dua anak mereka, Diya Raisha, 13, serta Ahmad Raef, 9, serta dua malim gunung Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Aslam yang bekerja sebagai pengurus projek di sebuah syarikat swasta berkata, minat terhadap aktiviti itu bermula sebagai usaha mengurangkan kebergantungan anak-anak kepada telefon pintar.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup aktif, malah menjadikan aktiviti mendaki sebagai rutin keluarga.
"Bila dah biasa, mereka jadi lebih seronok dan boleh ikut aktiviti hiking sekeluarga," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Hilang ketika mendaki: Wan Ahmad Aslam, isteri dua anak masih belum ditemui
Enam termasuk empat sekeluarga, dua malim gunung dikhuatiri hilang di hutan
Enam individu hilang: Bomba sedang kumpul maklumat sebelum selaras tindakan
Terputus hubungan, budak 9 tahun antara enam pendaki dikhuatiri hilang
Mengulas pendakian Trans GBB kali ini, beliau berkata ia merupakan penyertaan kali kelapan mereka sekeluarga, namun berdepan cabaran apabila laluan menjadi perlahan akibat kerja-kerja menebas.
Katanya, keadaan itu menyebabkan jarak perjalanan harian yang sepatutnya sekitar 8 hingga 10 kilometer hanya mampu dicapai sekitar dua hingga tiga kilometer.
“Perjalanan memang perlahan sebab banyak kawasan kena tebas. Sampai satu tahap kami bermalam dan berbincang sama ada nak patah balik atau cari punca air.
“Jadi kami buat keputusan untuk cari sumber air sebab itu paling penting,” katanya.
Beliau berkata, walaupun perjalanan mengambil masa lebih lama, bekalan makanan masih mencukupi sehingga hampir hari ke-10 hasil persiapan awal serta bantuan tambahan daripada malim gunung.
Katanya, kebimbangan utama mereka bukan keadaan dalam hutan, sebaliknya kemungkinan keluarga di luar membuat laporan kerana gagal keluar mengikut jadual.
"Dalam hutan kami sebenarnya terkawal. Makanan cukup, tiada kecederaan, cuma kami risau keluarga di luar akan bimbang dan buat laporan.
"Kami cuba elakkan perkara itu kerana tak mahu timbul salah faham atau memburukkan komuniti hiking," jelasnya.