SEPANG - Biar pun Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) baharu beroperasi pada kadar kekuatan awal, agensi itu membuktikan kejayaan luar biasa apabila ketirisan hasil negara bernilai RM322.74 juta tahun ini setakat Oktober berjaya diselamatkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini sekali gus lonjakan empat kali ganda berbanding tahun lalu.
Menurutnya, pencapaian ini membuktikan bahawa AKPS bukan sekadar instrumen penguatkuasaan undang-undang, tetapi adalah benteng fiskal negara.
"Penubuhan AKPS dua tahun lalu berakar umbi daripada wawasan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meruntuhkan amalan kerja secara silo dan membina benteng kedaulatan negara yang moden, bersepadu dan berintegriti di bawah satu chain of command berteraskan semangat Single Border Agency (SBA).
"Dalam tempoh singkat ini, kita telah menganalisis dan menilai keberkesanan pengoperasian agensi ini menerusi pendekatan berfasa serta mengambil kira tahap ancaman semasa dan kesediaan sumber manuaia dan logistik," katanya menerusi ucapan yang dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman.
Beliau berkata, ketangkasan dan kecekapan AKPS telah diuji susulan insiden penahanan seorang juruterbang di Jakarta pada 28 Julai lalu.
Katanya, bertindak pantas atas keputusan Jemaah Menteri pada 5 Ogos dan kelulusan 17 syor keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hasil Memorandum Bersama KDN dan Kementerian Pengangkutan pada 19 Ogos, kerajaan menetapkan Pelan Tindakan Penambahbaikan dan Mitigasi Keselamatan berteraskan tiga komponen utama iaitu Keselamatan Penerbangan, Keselamatan Negara dan Sempadan serta Keselamatan Fizikal dan Perlindungan.
Tambahnya, dalam pelan ini, AKPS telah diberi kepercayaan penuh sebagai agensi peneraju bagi Teras Keselamatan Negara dan Sempadan untuk melaksanakan tiga syor utama di bawah seliaannya.
"Pertama, pelaksanaan saringan bersasar berasaskan risiko merangkumi prosedur pemeriksaan tambahan khusus terhadap penerbangan, penumpang, kru serta bagasi yang dikenal pasti berprofil risiko tinggi.
"Kedua, pengukuhan Unit Anjing Pengesan (K9) dengan mempertingkatkan keupayaan K9 sebagai pelengkap saringan bagi mengesan bahan terlarang yang sukar dikesan oleh mesin pengimbas biasa.
"Ketiga ialah penyelarasan risikan antara agensi di mana AKPS bertindak sebagai hab peneraju perkongsian maklumat risikan bersama agensi sahabat secara pantas dan berkesan," ujarnya.
Menerusi majlis itu, AKPS turut memperkenalkan logo baharu
Selain itu, AKPS juga memperkenalkan hologram yang akan ditempatkan di bangunan satelit KLIA bertujuan membantu pengembara yang baru sampai dalam mendapatkan maklumat-maklumat yang perlu disediakan semasa ketibaan di negara ini.
Dalam ucapan itu juga, kejayaan yang dilakar AKPS sepanjang dua tahun ini tidak mungkin tercapai secara bersendirian.
"Ia merupakan hasil sinergi utuh merentas kementerian dan agensi rakan, termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Kementerian Kesihatan Malaysia," ujarnya.