SEPANG - Isu pengimportan sisa elektrik dan elektronik atau e-waste membuktikan bahawa ancaman di pintu masuk negara semakin kompleks.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Ismail Mokhtar berkata, penguatkuasaannya bukan sekadar menahan kontena, tetapi turut melibatkan pengesahan dokumen, pemeriksaan teknikal, pengenalpastian pihak bertanggungjawab dan pemantauan tindakan susulan.
Menurutnya, larangan mutlak pengimportan e-waste yang berkuat kuasa pada 4 Februari 2026 memperkukuh pendirian negara.
"Buat pertama kalinya pada tahun ini, kerajaan melalui Taskforce yang diketuai AKPS berjaya mengeksport keluar kontena yang membawa ewaste.
"AKPS akan memastikan sebanyak 1,259 kontena dapat dieksport keluar menjelang penghujung tahun ini," katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-2 AKPS di sini pada Isnin.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman.
Dalam pada itu, Ismail memaklumkan, pengukuhan sumber manusia merupakan antara keutamaan strategik AKPS.
Jelasnya, pada tahun ini, AKPS dengan bantuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi pusat akhirnya berjaya mewujudkan Skim Perkhidmatan AKPS yang berkuatkuasa pada 1 Julai 2026.
"Skim ini memberikan ganjaran manfaat yang terbaik kepada penerima skim.
"Sehingga 20 Oktober, seramai 4,190 staf menerima skim ini daripada 7,199 perjawatan skim KS yang ditawarkan," ujarnya.
Bagaimanapun, tegas beliau, segala strategi, peruntukan dan teknologi akan gagal jika kita kehilangan integriti.
"Sempadan negara mempunyai pintu, pagar, pengimbas dan kamera. Namun, sempadan yang paling awal perlu dijaga oleh setiap pegawai ialah sempadan dirinya sendiri antara amanah dengan kepentingan peribadi, antara kuasa dengan penyalahgunaan kuasa dan antara keberanian menjalankan tugas dengan ketakutan terhadap tekanan.
"Kita tidak boleh membiarkan budaya lama yang merosakkan amanah terus hidup atas alasan bahawa perkara itu sudah biasa dilakukan," ujarnya.
Tegasnya, pendirian kita jelas, tada kompromi terhadap rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianatan terhadap amanah.