KOTA BHARU – Hasil penyelidikan yang dijalankan oleh universiti perlu diterjemahkan kepada amalan di tempat kerja bagi membantu meningkatkan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja, kata Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Shaiful Bahari Ismail.
Beliau berkata, penyelidikan yang dihasilkan institusi pengajian tinggi bukan sekadar untuk tujuan akademik semata-mata, sebaliknya dapatan kajian tersebut perlu dimanfaatkan oleh organisasi dan industri.
“Universiti tidak seharusnya menghasilkan ilmu yang hanya tersimpan dalam jurnal atau bilik kuliah semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada amalan yang memberi manfaat kepada semua pihak, termasuk dari aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Kesihatan Pekerjaan Zon Pantai Timur 2026 anjuran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dengan kerjasama USM di sebuah hotel di Langgar, di sini pada Selasa.
Simposium tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) JKKP, Ahmad Jailani Mansor.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa kes hilang pendengaran akibat pendedahan kepada bunyi bising di tempat kerja direkodkan sebagai penyakit pekerjaan tertinggi di negara ini.
Berdasarkan Statistik Penyakit Pekerjaan Negara 2024, sebanyak 11,465 kes dilaporkan, dengan 8,196 daripadanya disahkan sebagai penyakit pekerjaan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,747 kes melibatkan hilang pendengaran akibat pendedahan kepada bunyi bising di tempat kerja, menjadikannya kategori penyakit pekerjaan paling dominan dengan kadar 82.3 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan.
Menurut Shaiful Bahari, kerjasama antara universiti, JKKP, pengamal profesional serta sektor industri amat penting dalam menangani isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang semakin kompleks.
“Isu kesihatan pekerjaan tidak dapat ditangani oleh satu profesion atau satu organisasi secara bersendirian.
“Usaha ini memerlukan perkongsian kepakaran, pengalaman dan komunikasi yang berterusan antara kerajaan, universiti, pengamal profesional dan pihak industri,” katanya.
Beliau berkata, simposium seperti itu bukan sahaja menjadi platform pembentangan hasil kajian dan perkongsian ilmu, malah berfungsi sebagai medan membina jaringan profesional serta meneroka peluang kerjasama yang mampu memberi impak positif kepada sektor pekerjaan.
Katanya, USM sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan JKKP dan pihak industri dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan, latihan profesional, pembangunan kapasiti, perkongsian kepakaran serta pelaksanaan program intervensi di tempat kerja.
“Melalui kerjasama ini, hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang praktikal dan memberi manfaat secara langsung kepada organisasi serta para pekerja,” katanya.