Antara dakwah dan riya’ di media sosial

Iklan
Apabila kamera diletakkan di antara tangan yang memberi dan tangan yang menerima, sifat ikhlas itu sudah bertukar menjadi sebuah pementasan drama untuk tontonan umum. Gambar kecil: Ros Aiza

PADA hari ini, kita dapat melihat amalan baik seperti bersedekah kepada insan yang kurang bernasib baik, bersujud dan solat di tempat awam, menunaikan umrah serta bergambar berlatar-belakangkan kaabah sering kali dimuat naik di media sosial.

Amal ibadah kini dengan mudah diperlihatkan kepada jutaan manusia. Situasi ini melahirkan satu dilema besar dalam kalangan masyarakat awam.

Iklan
Iklan

Adakah amalan ini satu bentuk dakwah kreatif yang perlu dipuji atau sekadar eksploitasi nilai kerohanian demi mengejar angka views, likes dan pengikut?

Dalam ajaran Islam, amalan bersedekah secara terang-terangan tidaklah dilarang. Surah al-Baqarah ayat 271 jelas menyatakan bahawa menzahirkan sedekah itu adalah baik, sekiranya ia dapat menggalakkan orang lain untuk turut sama berbuat kebaikan.

Iklan

Namun, garisan yang memisahkan antara mendidik masyarakat dengan mencari populariti di alam maya sangatlah halus. Perbezaan utama terletak pada niat di dalam hati dan hanya diketahui oleh individu itu sendiri dan Allah SWT.

Cabaran terbesar apabila amalan baik dirakam dan dimuat naik ke dalam platform awam adalah kehadiran penyakit hati yang dinamakan riya‘ iaitu menunjuk-nunjuk dan ujub iaitu membangga diri.

Iklan

Apabila setiap kebaikan dinilai berdasarkan jumlah tontonan dan pujian di ruangan komen, keikhlasan mudah terhakis tanpa disedari.

Selain isu niat dalam beramal, perkara yang sering terlepas pandang oleh kita adalah isu adab si pemberi dan maruah si penerima. Dalam keghairahan merakam detik murni memberi bantuan, wajarkah wajah insan yang sedang kesusahan dipertontonkan secara jelas tanpa mengira maruah mereka?

Bayangkan perasaan seorang warga emas atau keluarga miskin yang terpaksa menadah tangan, dalam keadaan lensa kamera memfokus tepat ke wajah mereka demi views dan likes terhadap suatu kandungan.

Islam mengajar kita untuk menjaga perasaan penerima agar mereka tidak merasa terhina. Apabila kamera diletakkan di antara tangan yang memberi dan tangan yang menerima, sifat ikhlas itu sudah bertukar menjadi sebuah pementasan drama untuk tontonan umum.

Begitu juga dengan ibadah khusus seperti solat dan doa. Solat sepatutnya menjadi penghubung antara hamba dengan Penciptanya.

Namun apabila seseorang itu sibuk mengatur sudut kamera, meletakkan tripod, atau mengulang semula pergerakan solat demi mendapatkan sudut gambar yang estetik, keikhlasan ibadah tersebut wajar dipersoalkan.

Fenomena ini tidak hanya memberi kesan kepada pembuat kandungan, malah boleh meracuni fikiran masyarakat umum yang menontonnya. Ia mewujudkan satu budaya baharu di mana kebaikan seseorang seolah-olah hanya wujud jika ia dipertontonkan di media sosial.

Anak-anak muda kini berisiko membesar dengan pemikiran bahawa sesuatu amalan kebaikan dan kebajikan itu tidak lengkap atau tidak sah sekiranya tidak dimuat naik ke Instagram atau TikTok.

Lebih memburukkan keadaan, trend ini boleh mencetuskan sifat suka menunjuk-nunjuk termasuk dalam hal ibadah.

Memandangkan dunia digital sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, kita tidak boleh menafikan terus kebaikan media sosial sebagai medium dakwah. Namun, masyarakat dan pempengaruh perlu lebih bijaksana dalam menentukan batasan.

Jika matlamat utama merakam video adalah untuk mengutip dana awam bagi misi bantuan kemanusiaan, ketelusan sememangnya diperlukan. Namun, ia boleh dilakukan dengan menjaga adab seperti mengaburkan wajah penerima bantuan atau tidak menayang jumlah wang yang diberikan secara berlebihan.

Manakala, bagi ibadah peribadi seperti solat, bacaan al-Quran dan doa, adalah lebih selamat untuk mengekalkannya sebagai rahsia peribadi antara diri dengan Tuhan.

Dalam hal ini, pempengaruh dan pengguna media sosial perlu bermuhasabah dan bertanya kepada diri sendiri sebelum menekan butang publish serta mempersoalkan sama ada video tersebut dimuat naik demi keredaan Tuhan, atau demi kepuasan algoritma media sosial.

Perlu ditekankan di sini bahawa populariti di dunia hanyalah bersifat sementara, manakala ganjaran pahala di akhirat kekal selamanya. Jangan biarkan kebaikan yang kita lakukan di dunia lesap begitu sahaja hanya disebabkan sejumlah tontonan dan pujian manusia.

Adab dan keikhlasan perlu kekal menjadi perkara pokok dalam amalan dan bukannya jumlah like, follow dan share.

*Profesor Madya Dr Ros Aiza Mohd Mokhtar ialah pensyarah di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia.