Ancaman El Nino: Pembenihan awan di Johor mungkin lebih awal

Iklan
Mohd Fazli (tengah) pada sesi Libat Urus Perkukuh Imej Pemandu Teksi Sempena Tahun Melawat Johor 2026 di Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor pada Selasa.

JOHOR BAHRU - Operasi pembenihan awan akan dilakukan lebih awal di Johor sekiranya paras air 17 empangan di negeri ini mula menyusut susulan jangkaan fenomena El Nino pada Oktober hingga Disember ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pemantauan paras air empangan dilakukan setiap hari bagi memastikan bekalan air negeri sentiasa mencukupi.

Iklan
Iklan

“Kita sedang bersedia untuk menghadapi super El Nino yang dijangka berlaku Oktober hingga Disember. Kita sudah berhubung dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk persediaan pembenihan awan.

“Mungkin kali ini, kita akan minta pembenihan awan dilakukan lebih awal sebelum berlaku kemarau. Pembenihan awan sudah dilakukan di beberapa tempat, tetapi di Johor belum lagi setakat ini,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Libat Urus Perkukuh Imej Pemandu Teksi Sempena Tahun Melawat Johor 2026 di Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor (JOTIC), di sini, pada Selasa.

Menurutnya, keadaan paras air di semua empangan ketika ini masih terkawal, walaupun terdapat empangan yang sudah berada pada tahap berjaga-jaga.

Iklan

“Berdasarkan kapasiti, ada empangan yang mampu bertahan sehingga enam bulan lagi. Ketika ini, Empangan Gunung Pulai berada pada tahap berjaga-jaga.

“Kalau sebelum ini Empangan Macap antara yang paling terjejas, tahun ini kita menjangkakan Gunung Pulai mungkin lebih berisiko kerana kita nampak trend paras airnya menurun,” katanya.

Mohamad Fazli berkata, kerajaan negeri bagaimanapun belum memuktamadkan empangan yang akan diberikan tumpuan sekiranya keadaan cuaca panas berterusan.

Selain pembenihan awan, katanya, kerajaan negeri turut menyediakan beberapa langkah alternatif termasuk mengepam air dari satu sumber ke sumber lain bagi memastikan bekalan air tidak terjejas.

“Kita juga membuat persediaan menghadapi penyusutan paras empangan seperti yang berlaku di Macap dan Layang-Layang tahun lalu.

“Bagi Layang-Layang, kita sudah menyediakan pelan penyahgeraman, manakala di Macap kita menambah pam supaya lebih banyak air dapat dilepaskan ke sungai untuk kegunaan loji rawatan air,” katanya.