Kes rasuah lot tapak perumahan tidak libat kerajaan Johor – Mohd Jafni

Iklan
Mohd Jafni

JOHOR BAHRU – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor terhadap seorang individu berkaitan dakwaan meminta dan menerima rasuah serta salah guna kuasa dalam urusan permohonan lot tapak perumahan tidak melibatkan mana-mana pihak dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, siasatan berkenaan juga tidak membabitkan mana-mana Exco atau pegawai kerajaan negeri Johor.

Iklan
Iklan

“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai merit kes yang sedang dalam siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM serta proses undang-undang.

“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, siasatan kes ini tidak melibatkan mana-mana pihak dalam pentadbiran kerajaan negeri Johor, sama ada dalam kalangan Exco atau mana-mana pegawai kerajaan negeri Johor,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mohd Jafni berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan, menipu rakyat atau menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan keuntungan peribadi dalam urusan berkaitan perumahan rakyat.

Menurutnya, amanah dalam menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat tidak seharusnya dicemari oleh segelintir pihak yang mengambil kesempatan terhadap kesusahan rakyat untuk memiliki kediaman.

Iklan

“Johor terus komited mencapai sasaran penyiapan 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang penghujung 2026.

“Setakat ini, lebih 21,000 unit rumah telah siap dan diserahkan kepada Bangsa Johor,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat supaya sentiasa berurusan melalui saluran rasmi serta tidak membuat sebarang bayaran kepada individu atau mana-mana pihak yang meminta bayaran berkaitan urusan perumahan.

“Sekiranya terdapat sebarang permintaan bayaran, laporan hendaklah segera dibuat kepada pihak berkuasa.

“Dalam soal rumah rakyat, amanah mesti dijaga. Hak rakyat jangan sekali-kali diperdagangkan,” katanya.