KUALA LUMPUR – Sembilan individu termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas sebuah van merempuh bahagian belakang sebuah treler berhampiran stesen minyak kawasan rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Shah Alam (Kesas) di sini pada Selasa.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki dilaporkan tersepit di bahagian pemandu selepas van jenis Toyota Hiace merempuh treler terbabit.
Iklan
Iklan
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mohd Redzuan Mohd Rani berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu sebelum mengarahkan sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil ke lokasi.
"Setibanya di lokasi, kita mendapati kemalangan membabitkan sebuah van melanggar bahagian belakang treler," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Redzuan berkata, seramai sembilan mangsa terlibat dalam kemalangan itu dengan seorang lelaki tersepit di bahagian pemandu, manakala tujuh mangsa dewasa lain termasuk seorang kanak-kanak mengalami kecederaan ringan.
Beliau berkata, tiga mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala enam lagi dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Status seorang mangsa lagi masih dalam tindakan pihak berkaitan,” katanya.