BENTONG - Pegawai forensik digital bukan sahaja perlu mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi, tetapi perlu berupaya menjelaskan kaedah analisis, penemuan dan bukti digital bagi membantu pihak pendakwaan serta mahkamah memahami fakta teknikal yang dikemukakan.
Pengarah Bahagian Forensik Teknologi (BFT) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Zulkifli Wan Jusoh berkata, kepentingan meningkatkan kualiti penyiasatan serta kompetensi pegawai dalam memberikan keterangan di mahkamah juga perlu ditekankan, memandangkan penemuan teknikal dan bukti digital perlu dijelaskan secara tepat, jelas dan mudah difahami.
Menurutnya, selain itu, sesi perkongsian pengalaman berkaitan prosiding mahkamah, termasuk sesi soal jawab bersama Timbalan Pendakwa Raya (TPR), wajar diperkasakan bagi membantu pegawai forensik membuat persediaan lebih baik ketika memberikan keterangan sebagai saksi.
"Kerjasama rentas agensi juga perlu terus diperkasakan bagi memastikan kepakaran dan keupayaan makmal forensik digital dapat dimanfaatkan secara optimum dalam mendepani cabaran penyiasatan yang semakin kompleks.
"Usaha berterusan itu diharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi penguatkuasaan, meningkatkan standard amalan forensik digital serta memastikan bukti digital dikendalikan secara profesional dan berintegriti bagi menyokong keberkesanan penyiasatan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Bengkel Tahunan Kumpulan Kerja Forensik Digital (KKFD) bagi Agensi Penguatkuasaan Tahun 2026 di di sini pada Jumaat.
Wan Zulkifli yang juga Pengerusi KKFD berkata, jumlah keahlian KKFD turut meningkat kepada lebih 150 orang sejak awal penubuhannya pada 2015.
Jelasnya, ini sekali gus mencerminkan peningkatan kerjasama antara agensi penguatkuasaan dalam memperkukuh keupayaan forensik digital negara.
“Walaupun penglibatan dalam kumpulan kerja ini merupakan tugasan sampingan, sumbangan tenaga, pengetahuan dan kepakaran setiap ahli amat penting bagi membantu memperkasakan makmal forensik digital di agensi masing-masing,” ujarnya.
Sebelum itu, bengkel tiga hari itu disertai 62 peserta daripada pelbagai agensi penguatkuasaan dengan membincangkan hala tuju serta perancangan penambahbaikan KKFD bagi memastikan kumpulan kerja berkenaan terus relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.
Kata beliau, SPRM komited memberikan khidmat sokongan dan bantuan yang diperlukan bagi membantu memperkukuh bidang forensik digital, termasuk usaha meningkatkan keupayaan makmal serta perkongsian kepakaran antara agensi.