KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di lapan negeri serta dua Wilayah Persekutuan hingga 11 pagi ini.
MetMalaysia hari ini memaklumkan cuaca buruk di Semenanjung melibatkan keseluruhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta seluruh Pulau Pinang, Selangor dan Melaka.
Di Kedah, kawasan terjejas ialah Kulim, Bandar Baharu, Kuala Muda, Yan, Kota Setar dan Pendang, manakala di Perak melibatkan Kerian, Larut Matang, Manjung, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Perak Tengah.
Di Negeri Sembilan, amaran itu melibatkan Port Dickson, Seremban dan Rembau, manakala kawasan terjejas di Johor meliputi Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian.
Amaran sama turut dikeluarkan di Sarawak melibatkan Samarahan (Sebuyau), Sri Aman (Pantu dan Lingga), Betong (Pusa), Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Mukah), Sarikei (Sarikei dan Maradong), Miri (Subis dan Miri), Bintulu (Bintulu dan Tatau) serta Sibu (Sibu). - Bernama