Cadangan pembinaan hospital awam di Bagan Datuk masih dalam kajian - Sivanesan

Iklan
Sivanesan ketika menjawab soalan lisan sempena Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-15 di sini pada Selasa.

IPOH - Cadangan pembinaan sebuah hospital awam di Bagan Datuk masih dalam peringkat penelitian dan kajian rapi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama kerajaan negeri.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, Datuk A Sivanesan berkata, penentuan keperluan sesebuah hospital kerajaan bukan hanya berdasarkan jumlah penduduk.

Iklan
Iklan

Sebaliknya menurutnya, ia mengambil kira keperluan kesihatan, beban perkhidmatan, sumber sedia ada serta kemampuan pembangunan.

Sivanesan menjelaskan, antara kriteria utama dinilai termasuk jumlah dan unjuran pertumbuhan penduduk, kapasiti hospital berhampiran, jarak selain akses perjalanan, profil kesihatan penduduk, keperluan sumber manusia, kesesuaian tanah, tapak, rangkaian hospital serta kebolehlaksanaan projek.

Iklan

"KKM turut menilai jarak ke hospital berhampiran, kapasiti katil, beban pesakit, akses ambulans, rangkaian jalan raya, keperluan rawatan khusus serta kemampuan menyediakan tenaga kerja dan kemudahan sokongan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) sempena Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-15 di sini pada Selasa.

Iklan

Sivanesan berkata, penduduk Bagan Datuk ketika ini mempunyai akses kepada Hospital Teluk Intan yang terletak kira-kira 56 kilometer dengan tempoh perjalanan sekitar sejam, manakala Hospital Seri Manjung pula kira-kira 50 kilometer dengan perjalanan sekitar 45 minit.

Katanya, Hospital Seri Manjung mempunyai kapasiti 353 katil, manakala Hospital Teluk Intan menyediakan 548 katil.

"Hospital Manjung merupakan Lead Hospital bagi kluster minor yang memberi fokus kepada penduduk Manjung dan Pangkor, namun ruang untuk menampung tambahan pesakit dari Bagan Datuk masih tersedia.

"Tambahan pula, pembinaan jambatan baharu yang menghubungkan Bagan Datuk dengan Manjung membantu mengurangkan tempoh perjalanan dan memudahkan akses penduduk kepada perkhidmatan kesihatan di kedua-dua hospital berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata perkhidmatan kesihatan primer di Bagan Datuk masih berada pada tahap memberangsangkan dengan jumlah kedatangan pesakit ke klinik kesihatan meningkat 26 peratus pada 2025 berbanding 2023.

Menurutnya, jumlah keseluruhan kedatangan pesakit ke enam klinik kesihatan di daerah itu meningkat daripada 159,486 orang pada 2023 kepada 196,551 orang pada 2025.

"Purata kedatangan pesakit sehari turut meningkat daripada 633 orang pada 2023 kepada 800 orang pada 2025.

"Antara klinik yang mencatat peningkatan ketara ialah Klinik Kesihatan Jenis 3 Hutan Melintang apabila jumlah kedatangan meningkat daripada 62,984 orang pada 2023 kepada 77,329 orang pada 2025," katanya.

Beliau berkata, Klinik Kesihatan Sungai Sumun pula merekodkan peningkatan daripada 28,066 orang kepada 38,038 orang dalam tempoh sama, manakala Klinik Kesihatan Bagan Datuk meningkat daripada 29,461 kepada 34,761 orang.

Katanya, kes yang memerlukan pemeriksaan, rawatan atau perkhidmatan lebih khusus akan dirujuk ke fasiliti kesihatan atau hospital berkaitan.

"Pada masa ini, KKM masih berdaya membekalkan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada penduduk Bagan Datuk berdasarkan kapasiti dan kemampuan sedia ada.

"Bagaimanapun, keperluan itu bersifat dinamik dan boleh berubah. Justeru, KKM bersama kerajaan negeri akan terus meneliti keperluan semasa masyarakat, termasuk cadangan pembinaan hospital awam di daerah berkenaan," katanya.