Siasatan dakwaan rasuah berlarutan perlu tempoh masa jelas

Iklan
Jeyenderan

KUALA LUMPUR - Siasatan berkaitan dakwaan rasuah dan salah laku lain yang berlarutan tanpa perkembangan jelas boleh menimbulkan ketidakpastian kepada pihak terlibat.

Pakar industri maritim, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, agensi penguatkuasaan perlu diberikan masa mencukupi untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, namun pada masa sama perlu ada tempoh masa yang jelas bagi memastikan perkembangan kes dapat dimaklumkan kepada pengadu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mekanisme komunikasi secara berkala penting bagi memastikan pengadu mengetahui status laporan mereka serta sama ada maklumat atau dokumen tambahan diperlukan.

"Saya menerima e-mel dan SMS yang dijana secara automatik daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyatakan kes itu sedang dalam tindakan, namun, sejak Jun hingga kini, saya masih belum menerima sebarang penjelasan bertulis daripada SPRM.

Iklan

"Ketidakpastian yang berlarutan ini telah menjejaskan perniagaan yang terlibat, khususnya dalam membuat keputusan komersial dan merancang operasi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, laporan berkenaan dibuat pada 5 Jun lalu susulan dakwaan percanggahan antara bil muatan (bill of lading) dengan pergerakan fizikal kargo petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor, membabitkan urus niaga yang dikatakan bernilai jutaan ringgit.

Iklan

Media pada pada 13 Ogos lalu melaporkan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, kementeriannya akan mendapatkan penjelasan daripada MOF berhubung kebimbangan mengenai layanan cukai terhadap kargo minyak yang dicampurkan.

Loke berkata kementeriannya masih belum dimaklumkan mengenai sebarang cukai baharu terhadap kargo berkenaan, sambil menambah perkara itu berada di bawah bidang kuasa JKDM dan MOF.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse turut dilaporkan akan membangkitkan di Parlimen kebimbangan berhubung ketidakpastian percukaian kargo minyak yang dicampurkan dan disimpan dalam tangki darat di Pelabuhan Tanjung Langsat.

Beliau yang juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Ekonomi dan Kewangan, berkata akan menggesa jawatankuasa itu memanggil pihak berkaitan bagi memberikan penjelasan serta membincangkan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Jeyenderan berkata, perkara itu lebih penting dalam kes membabitkan urusan perniagaan serta perkara yang berpotensi memberi implikasi terhadap hasil kerajaan, pematuhan peraturan dan industri maritim negara.

Beliau berkata, ketiadaan kemas kini rasmi secara bertulis menyukarkannya memahami status semasa siasatan termasuk sama ada pihaknya perlu mengemukakan maklumat atau dokumen tambahan.

Katanya, beliau menghormati SPRM dan proses siasatan yang dijalankan selain telah memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mengemukakan dokumen serta maklumat yang diminta pegawai agensi berkenaan.

Jeyenderan sebelum ini mendakwa perkara itu berpotensi memberi implikasi lebih luas sekiranya terbukti, termasuk terhadap hasil kerajaan, pematuhan peraturan serta keyakinan terhadap sektor maritim dan petroleum Malaysia.

Beliau menegaskan, cadangan supaya tempoh masa ditetapkan bukan bertujuan mencampuri atau memberi tekanan kepada pihak penyiasat, sebaliknya bagi memastikan proses siasatan dilaksanakan secara berkesan serta pihak terjejas diberikan kejelasan sewajarnya.

"Penetapan tempoh masa tidak bermakna kita mahu mempercepatkan siasatan atau menjejaskan proses sewajarnya.

"Ia adalah untuk memastikan akauntabiliti, pada masa sama memberi penyiasat masa yang mencukupi untuk menentukan fakta," katanya.

Beliau berkata, tempoh masa yang jelas, komunikasi berkala dan dokumentasi sewajarnya mengenai hasil siasatan mampu meningkatkan keyakinan awam terhadap agensi penguatkuasaan, khususnya dalam kes membabitkan dakwaan rasuah, salah guna kuasa atau ketirisan hasil.

Menurutnya, pendekatan lebih telus juga dapat memberi kepastian kepada pemain industri dan pada masa sama memastikan agensi penguatkuasaan kekal bebas serta mempunyai budi bicara diperlukan dalam menjalankan siasatan.

Dalam pada itu, Jeyenderan berkata, SPRM sebelum ini memaklumkan kepadanya bahawa laporan berkenaan telah diterima dan dirujuk kepada Jawatankuasa Penilaian Maklumat sebelum siasatan dijalankan.

Jelasnya, beliau turut dimaklumkan bahawa siasatan terhadap laporan berkenaan masih berjalan.