LONDON - Raja Charles III menegaskan, Putera Harry dan Meghan Markle tidak akan kembali sebagai kerabat diraja yang menjalankan tugas rasmi walaupun pasangan itu telah berpindah semula ke United Kingdom (UK).
Penegasan itu dibuat menerusi satu surat rasmi yang dihantar bagi pihak Raja Charles, bertujuan memperjelaskan status Duke dan Duchess of Sussex selepas mereka kembali dari California bersama dua anak mereka, Archie dan Lilibet, bulan lalu.
Menurut surat yang ditandatangani bagi pihak Raja Charles oleh Lord Chamberlain, pegawai kanan Istana Buckingham, Harry dan Meghan masih tidak dibenarkan menggunakan gelaran “His Royal Highness” (HRH) dan “Her Royal Highness” (HRH), selain terus diklasifikasikan sebagai individu persendirian.
Perkembangan itu hadir ketika Putera Harry dilaporkan muncul buat pertama kali di khalayak sejak kembali ke UK menerusi sekeping gambar yang dimuat naik di media sosial sebuah studio televisyen dan podcast di London.
Sumber istana memaklumkan, surat berkenaan telah diedarkan kepada pasukan Putera Harry, jabatan kerajaan, pegawai tentera serta Lord Lieutenants, iaitu wakil rasmi raja di peringkat tempatan yang lazimnya terlibat dalam penganjuran lawatan dan acara diraja.
Surat berkenaan menjelaskan bahawa sebarang program atau penampilan yang disertai pasangan Sussex selepas ini adalah atas kapasiti peribadi dan bukan sebagai wakil rasmi keluarga diraja British.
Langkah itu dilihat sebagai usaha mengelakkan kekeliruan menjelang beberapa penampilan awam yang dijangka dilakukan Harry dan Meghan pada musim luruh ini ketika mereka menyesuaikan diri semula di UK serta meneruskan sokongan terhadap badan-badan amal yang berkaitan dengan mereka.
Mesej Raja Charles turut menegaskan bahawa kedudukan yang dipersetujui pada tahun 2020 menerusi Perjanjian Sandringham masih berkuat kuasa.
Perjanjian tersebut menetapkan bahawa Harry dan Meghan tidak boleh memiliki status separa rasmi sebagai kerabat diraja sambil menjalankan kepentingan komersial mereka sendiri.
"Umum mengetahui bahawa pada Januari 2020, Duke dan Duchess of Sussex melepaskan tugas sebagai wakil rasmi Raja dan tidak lagi menjadi ahli keluarga diraja yang menjalankan tugas rasmi,” menurut isi kandungan surat itu.
Surat tersebut turut menegaskan bahawa aktiviti kebajikan yang dilaksanakan pasangan itu adalah urusan peribadi dan dilakukan dalam kapasiti persendirian.
Selain itu, mana-mana organisasi yang mempunyai pertanyaan berkaitan bentuk sambutan atau layanan kepada pasangan Sussex, khususnya jika melibatkan penggunaan dana awam, diminta merujuk terus kepada Istana Buckingham.
Harry dan Meghan meninggalkan UK pada 2020 selepas hubungan mereka dengan institusi diraja menjadi tegang, yang kemudiannya didedahkan menerusi dokumentari Netflix mereka.
Sejak menetap di California, pasangan itu membina kehidupan yang bebas dari segi kewangan melalui pelbagai projek komersial, termasuk penerbitan memoir bestseller Spare oleh Putera Harry serta jenama makanan dalam talian Meghan, As Ever.
Kepulangan mengejut mereka ke UK pada musim panas lalu turut menyaksikan dua anak mereka dijangka meneruskan persekolahan di negara itu.
Harry dijangka terus memberi tumpuan kepada aktiviti kebajikannya, termasuk menyokong temasya Invictus Games yang bakal berlangsung di Birmingham tahun hadapan.
Pada masa sama, laporan media turut menyebut Meghan sedang mempertimbangkan untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.
Bagaimanapun, isu keselamatan pasangan itu di UK masih belum menemui penyelesaian.
Surat berkenaan menjelaskan, sebarang perkara berkaitan operasi keselamatan perlu dirujuk kepada pihak polis yang bertanggungjawab.
Sebelum ini, Putera Harry beberapa kali menyuarakan kebimbangan mengenai tahap perlindungan polis yang diterimanya di UK.
Namun, Istana Buckingham menegaskan, keputusan berkaitan keselamatan kerabat diraja dan tokoh awam terletak di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Eksekutif Diraja dan VIP (Ravec).
Sumber istana berkata, keputusan untuk mendedahkan kandungan surat tersebut kepada umum dibuat atas dasar ketelusan bagi mengelakkan maklumat berkenaan tersebar melalui kebocoran tidak rasmi.
Setakat ini, wakil Putera Harry dan Meghan belum memberikan sebarang maklum balas terhadap kandungan surat berkenaan. - Agensi/ AWANI