Prabowo beri peringatan kepada negara yang hina Indonesia isu jerebu

Iklan
Prabowo. Foto: Agensi

JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memberi peringatan kepada negara asing yang didakwa sering menghina republik itu berhubung isu kebakaran hutan dan tanah sehingga menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Menurut laporan Kompas.com pada Khamis, Prabowo menegaskan kerajaan tidak akan teragak-agak mendedahkan identiti syarikat asing yang terbukti terlibat dalam kegiatan pembakaran hutan di Indonesia.

Iklan
Iklan

"Bagi negara tertentu yang gemar menghina bangsa Indonesia, akan tiba masanya kita mendedahkan syarikat-syarikat mereka," katanya ketika Mesyuarat Kabinet Penuh di Istana Presiden, Jakarta pada Rabu.

Beliau menyifatkan kebakaran hutan yang berpunca daripada perbuatan manusia sebagai satu bentuk keganasan terhadap alam sekitar dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Iklan

"Perbuatan mereka membahayakan kesihatan jutaan rakyat kita. Kita tidak boleh memandang ringan perkara ini," tegasnya.

Prabowo turut mengancam menarik balik lesen operasi syarikat yang terbukti melanggar undang-undang dan menyebabkan kebakaran hutan.

Iklan

"Jika bukti sudah jelas, kita akan bertindak dan menarik balik semua lesen syarikat yang melanggar peraturan," katanya.

Beliau turut mengarahkan polis, pendakwa raya dan Kementerian Perhutanan dengan bantuan tentera serta agensi perisikan menyiasat penglibatan syarikat dalam kebakaran hutan hingga tuntas.

Setakat ini, polis Indonesia telah menamakan 11 syarikat sebagai suspek dalam kes kebakaran hutan dan tanah, termasuk tiga syarikat pelaburan asing.

Singapura kecewa kenyataan pegawai Indonesia

Kenyataan Prabowo itu menyusul ketegangan antara Indonesia dengan Singapura berhubung pencemaran jerebu rentas sempadan.

Menteri Kanan Singapura, K Shanmugam sebelum ini melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan seorang pegawai Indonesia yang mendakwa republik itu turut membekalkan oksigen kepada negara jiran ketika tiada jerebu.

Menurut Shanmugam, kenyataan sedemikian tidak wajar ketika masyarakat serantau sedang menanggung kesan pencemaran udara akibat kebakaran hutan.

Bagaimanapun, beliau menyambut baik usaha pentadbiran Prabowo menangani krisis jerebu.

Sementara itu, Singapura telah menghantar surat pemberitahuan kepada tujuh syarikat yang disyaki mempunyai kaitan dengan kebakaran hutan di Indonesia.

Surat berkenaan dikeluarkan mengikut Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura bagi meminta syarikat terbabit mengambil langkah memadam kebakaran dan mencegah kejadian berulang.

Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) mengenal pasti syarikat tersebut berdasarkan pemantauan titik panas, pergerakan asap serta imej satelit.

Prabowo bagaimanapun menegaskan bahawa sebarang tindakan terhadap syarikat yang terlibat akan dilakukan secara berhati-hati dan berdasarkan bukti kukuh. - Agensi