Ancaman kontemporari penyatuan ummah di Malaysia

Iklan
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) diiringi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bergambar bersama barisan kepimpinan UMNO dan Pas pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 2019. Gambar kecil: Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah

PENYATUAN ummah merupakan antara tuntutan penting dalam ajaran Islam. Al-Quran bukan sahaja memerintahkan umat Islam supaya berpegang teguh kepada agama Allah dan tidak berpecah-belah sebagaimana ditegaskan dalam Surah Ali ‘Imran ayat 103, malah mengingatkan bahawa pertelingkahan yang tidak terkawal akan menyebabkan umat kehilangan kekuatan, seperti dinyatakan dalam Surah al-Anfal ayat 46.

Namun begitu, penyatuan ummah tidak sewajarnya difahami sebagai tuntutan supaya seluruh umat Islam mempunyai pendapat, kecenderungan politik, pendekatan dakwah atau pemikiran yang seragam.

Iklan
Iklan

Perbezaan ialah sebahagian daripada realiti kehidupan manusia. Apa yang menjadi masalah ialah apabila perbezaan berubah menjadi permusuhan, persaingan menjadi kebencian dan kepelbagaian pandangan bertukar menjadi alasan untuk saling menafikan keislaman, keikhlasan atau hak pihak lain.

Dalam konteks Malaysia, persoalan penyatuan ummah menjadi lebih kompleks kerana masyarakat Islam hidup dalam sebuah negara majmuk daripada segi agama, etnik, budaya, wilayah dan kecenderungan politik.

Iklan

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan, pada masa yang sama agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Perkara 11 pula menjamin kebebasan beragama dalam kerangka yang ditetapkan Perlembagaan.

Justeru, penyatuan umat Islam di Malaysia tidak harus dibina melalui permusuhan terhadap masyarakat bukan Islam. Sebaliknya, kekuatan ummah perlu diterjemahkan melalui keadilan, kestabilan, kebijaksanaan dan kemampuan membina kehidupan bersama secara aman.

Iklan

Politik kepartian dan budaya taksub

Antara ancaman terbesar terhadap penyatuan ummah ialah politik kepartian yang keterlaluan.

Persaingan politik ialah perkara biasa dalam demokrasi. Umat Islam boleh berada dalam parti yang berlainan dan mempunyai pandangan berbeza mengenai ekonomi, pentadbiran, hubungan antara kaum atau bentuk kerjasama politik.

Masalah timbul apabila parti politik berubah menjadi ukuran iman dan moral seseorang. Apabila penyokong parti sendiri dianggap sentiasa benar sementara lawan dianggap pengkhianat agama atau musuh umat, lahirlah budaya asabiyyah politik.

Penyatuan ummah dengan itu memerlukan satu bentuk fiqh politik yang lebih matang.

Parti boleh bersaing dalam pilihan raya, tetapi pemimpin serta penyokong harus mampu bekerjasama dalam persoalan yang menyentuh kepentingan bersama seperti pendidikan Islam, kemiskinan, keluarga, ekonomi umat, Palestin, kebajikan dan pembangunan generasi muda.

Prinsipnya mudah, iaitu berbeza parti tidak semestinya berbeza umat.

Kerajaan juga wajib berlaku adil kepada pihak yang berbeza.

Dalam membicarakan penyatuan ummah, tanggungjawab tidak seharusnya diletakkan hanya pada parti pembangkang, ulama, NGO atau rakyat.

Kerajaan yang memegang kuasa pentadbiran mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih besar untuk memastikan kuasa itu tidak digunakan sehingga menimbulkan rasa terpinggir, teraniaya atau dianaktirikan dalam kalangan rakyat dan negeri yang mempunyai pilihan politik berbeza.

Kerajaan Persekutuan khususnya perlu berhati-hati agar perbezaan politik tidak diterjemahkan kepada layanan yang berbeza terhadap negeri, kerajaan negeri, institusi atau masyarakat yang tidak sehaluan dengannya.

Dalam sebuah Persekutuan, rakyat yang tinggal di negeri yang diperintah pembangkang tetap merupakan rakyat Malaysia yang mempunyai hak yang sama terhadap pembangunan, kemudahan asas, pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan peluang ekonomi.

Sekiranya bantuan, projek pembangunan, peruntukan atau akses kepada kemudahan tertentu dilihat diberikan berdasarkan kesetiaan politik dan bukannya keperluan rakyat, keadaan ini berpotensi mencetuskan rasa tidak puas hati yang mendalam.

Lebih berbahaya apabila garis pemisah politik itu bertindih pula dengan identiti agama, wilayah dan komuniti. Ia boleh menyebabkan persaingan politik bertukar menjadi jurang sosial, seterusnya merosakkan agenda penyatuan ummah.

Islam sendiri meletakkan keadilan sebagai kewajipan, termasuk terhadap pihak yang tidak disukai. Surah al-Ma’idah ayat 8 mengingatkan bahawa kebencian terhadap sesuatu kaum tidak boleh mendorong seseorang berlaku tidak adil.

Prinsip ini jauh lebih penting bagi pemerintah kerana kuasa memberikan mereka keupayaan untuk menentukan agihan sumber, peluang dan dasar yang memberi kesan terus kepada kehidupan rakyat.

Kerajaan juga harus menerima bahawa perbezaan pendapat bukanlah ancaman kepada negara.

Teguran daripada pembangkang, ulama, ahli akademik, mahasiswa, media, pertubuhan masyarakat sivil atau rakyat biasa tidak seharusnya secara automatik dianggap sebagai permusuhan.

Dalam sebuah demokrasi yang matang, kritikan boleh menjadi mekanisme semak dan imbang yang membantu kerajaan memperbaiki kelemahan.

Pendekatan menekan, mendiamkan atau menghukum pihak yang tidak sependapat hanya akan melahirkan rasa dendam dan ketidakpercayaan.

Sebaliknya, kerajaan yang yakin dengan kekuatan pentadbirannya seharusnya mempunyai keberanian untuk mendengar pandangan berbeza, menjawab kritikan dengan hujah dan membuka ruang perundingan.

Lebih penting, kerajaan tidak harus menjadikan institusi negara sebagai alat persaingan kepartian.

Institusi awam mesti dilihat sebagai milik seluruh rakyat dan bukannya instrumen mana-mana parti yang sedang berkuasa.

Apabila rakyat mempunyai keyakinan bahawa institusi negara berlaku adil tanpa mengira kecenderungan politik, ketegangan dapat dikurangkan dan rasa kebersamaan dapat dibina.

Dalam hal ini, penyatuan ummah menuntut satu etika pemerintahan yang jelas di mana sesebuah kerajaan memerintah untuk semua, bukan hanya untuk penyokongnya.

Menang pilihan raya memberikan hak membentuk kerajaan, tetapi tidak memberikan hak untuk menganaktirikan mereka yang membuat pilihan politik berbeza.

Jika pemerintah benar-benar mahu melihat umat Islam bersatu, maka keadilan mesti bermula daripada pemerintah sendiri.

Kerajaan tidak boleh menyeru rakyat agar menghentikan perpecahan pada masa yang sama dasar atau tindakannya menimbulkan persepsi bahawa sesetengah negeri atau kelompok dihukum kerana pilihan politik mereka.

Penyatuan yang lahir daripada tekanan tidak akan bertahan. Penyatuan yang kukuh hanya boleh lahir apabila rakyat merasakan mereka dihormati, hak mereka dipelihara dan perbezaan mereka tidak digunakan sebagai alasan untuk mendiskriminasikan mereka.

Khilaf agama yang berubah menjadi permusuhan

Ancaman kedua ialah kegagalan mengurus perbezaan pandangan dalam perkara agama.

Perbezaan dalam persoalan fiqh, pendekatan dakwah dan beberapa aspek pemikiran telah wujud sejak zaman awal Islam. Tradisi keilmuan Islam sebenarnya mempunyai khazanah adab al-ikhtilaf yang sangat kaya.

Namun media sosial menyebabkan perbahasan yang sepatutnya bersifat ilmiah mudah berubah menjadi pertandingan mencari kesalahan.

Label seperti liberal, ekstrem, Wahabi, takfiri, munafik, sesat atau pelbagai gelaran lain kadangkala digunakan terlalu mudah sehingga menutup ruang perbincangan substantif.

Ancaman sebenar bukanlah semata-mata kewujudan perbezaan. Ancaman sebenar ialah hilangnya adab dalam mengurus perbezaan. Penyelesaiannya ialah memperkukuh budaya ilmu.

Ulama, mufti, pendakwah dan ahli akademik perlu membina ruang dialog yang membolehkan perbezaan dihuraikan berdasarkan dalil dan disiplin ilmu, bukan emosi atau populariti media sosial.

Pada masa yang sama, perkara yang benar-benar melibatkan ancaman terhadap akidah perlu ditangani melalui institusi yang mempunyai autoriti, proses yang teratur serta pendidikan dan dakwah, bukannya melalui penghukuman oleh orang awam di media sosial.

Kerajaan sendiri mempunyai mekanisme penyelarasan antara JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri dalam menangani isu berkaitan ancaman akidah.

Media sosial, fitnah dan keruntuhan budaya tabayyun

Jika suatu ketika dahulu sesuatu fitnah mungkin mengambil masa berhari-hari untuk tersebar, kini beberapa minit sudah mencukupi.

Media sosial menjadi antara cabaran paling besar kepada penyatuan ummah kerana algoritma digital cenderung memberikan perhatian kepada kandungan yang sensasi, kontroversial dan membangkitkan emosi.

Potongan video tanpa konteks, tajuk provokatif, tangkap layar yang dimanipulasi dan berita palsu boleh mencetuskan kemarahan sebelum fakta sebenar diketahui.

Dalam keadaan ini, konsep tabayyun sebagaimana digariskan dalam Surah al-Hujurat ayat 6 menjadi sangat relevan.

Umat Islam perlu dibina sebagai masyarakat yang mempunyai literasi digital dan disiplin maklumat.

Jangan setiap perkara yang diterima terus dikongsi; jangan setiap tuduhan dipercayai; dan jangan menghukum seseorang berdasarkan video 30 saat tanpa mengetahui konteksnya.

Institusi pendidikan Islam juga perlu menganggap literasi media sebagai sebahagian daripada pendidikan akhlak kontemporari.

Eksploitasi isu kaum dan agama

Malaysia mempunyai sensitiviti tersendiri berhubung kaum, agama dan institusi negara. Persoalan-persoalan ini tidak boleh dianggap remeh, tetapi pada masa yang sama ia tidak wajar dieksploitasi untuk keuntungan politik jangka pendek.

Apabila sesuatu isu sengaja dibingkaikan dengan cara yang menimbulkan ketakutan bahawa satu kaum sedang mengancam kaum lain atau satu agama sentiasa berada dalam konflik dengan agama lain, masyarakat akhirnya terperangkap dalam politik kecurigaan.

Hal ini bukan sahaja menjejaskan perpaduan nasional tetapi akhirnya turut memecahkan umat Islam sendiri kerana mereka mempunyai tafsiran politik berbeza terhadap isu tersebut.

Perlembagaan Persekutuan perlu menjadi antara kerangka utama mengurus hubungan ini.

Dasar Perpaduan Negara sendiri meletakkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai tunjang kepada usaha perpaduan serta menggunakan konsep “Perpaduan Dalam Kepelbagaian” sebagai asas memelihara keharmonian masyarakat majmuk.

Oleh itu, membela Islam tidak harus disamakan dengan memusuhi penganut agama lain.

Kekuatan Islam juga terpancar apabila umatnya mampu berlaku adil, termasuk terhadap mereka yang berbeza, sebagaimana prinsip keadilan yang digariskan dalam Surah al-Ma’idah ayat 8.

Jurang ekonomi dan ketidakadilan sosial

Penyatuan ummah juga tidak boleh dipisahkan daripada persoalan ekonomi.

Seruan ukhuwah akan kehilangan sebahagian maknanya jika wujud kelompok masyarakat yang terus terperangkap dalam kemiskinan, pengangguran, pendidikan berkualiti rendah dan peluang ekonomi yang terbatas.

Jurang antara bandar dengan luar bandar, antara negeri maju dan kurang membangun, serta antara kelompok profesional dengan masyarakat akar umbi boleh menghasilkan rasa terpinggir.

Islam meletakkan keadilan sosial sebagai asas penting masyarakat. Oleh itu, agenda penyatuan ummah perlu bergerak daripada retorik kepada pemerkasaan ekonomi melalui pendidikan, TVET, keusahawanan, wakaf produktif, zakat yang lebih strategik, pemilikan aset, literasi kewangan serta pembangunan perusahaan Muslim yang berdaya saing.

Umat yang ekonominya rapuh lebih mudah dimanipulasi dengan sentimen dan politik ketakutan.

Kelemahan pendidikan dan kehilangan pemikiran wasatiyyah

Satu lagi cabaran ialah pendidikan agama yang terlalu berorientasikan penguasaan maklumat tetapi tidak cukup membina kemampuan mengurus perbezaan.

Generasi muda perlu memahami bukan sahaja halal dan haram, tetapi juga maqasid syariah, fiqh keutamaan, sejarah perbezaan mazhab, kewarganegaraan, Perlembagaan, hubungan antara agama dan etika bermedia.

Konsep wasatiyyah tidak bererti bersikap longgar dalam prinsip. Ia bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya, menolak ekstremisme dan memilih pendekatan yang adil serta seimbang.

Pendidikan sedemikian dapat melahirkan Muslim yang teguh prinsip tetapi tidak mudah membenci; yakin dengan agamanya tetapi tidak takut berdialog; serta mampu membezakan antara perkara prinsip dengan perkara yang masih terbuka kepada ijtihad.

Institusi agama mesti menjadi jambatan penyatuan

Masjid, surau, institusi fatwa, jabatan agama dan organisasi dakwah mempunyai kedudukan strategik. Masjid khususnya perlu menjadi rumah bersama umat, bukan wilayah eksklusif mana-mana kelompok politik atau organisasi.

Khutbah dan program keagamaan seharusnya memberi perhatian kepada tema besar seperti ukhuwah, integriti, antirasuah, pendidikan, keluarga, ekonomi, penyalahgunaan dadah, kesihatan sosial dan tanggungjawab kepada negara.

Dalam masa yang sama, koordinasi antara institusi agama Persekutuan dan negeri perlu terus diperkuat supaya isu penting tidak menghasilkan mesej yang bercanggah sehingga mengelirukan masyarakat.

Mewujudkan agenda bersama melampaui politik

Penyatuan tidak akan tercapai hanya melalui seminar atau deklarasi. Umat memerlukan agenda bersama yang boleh dilaksanakan.

Pemimpin politik Islam daripada kerajaan dan pembangkang, ulama, NGO, ahli akademik, profesional dan tokoh masyarakat boleh mempunyai ruang tetap untuk membincangkan isu yang tidak sepatutnya terperangkap dalam pertandingan partisan.

Misalnya, mengapa tidak diwujudkan kesepakatan rentas politik mengenai pendidikan generasi Muslim, pemerkasaan ekonomi Melayu-Islam, pengukuhan institusi keluarga, isu Palestin, ancaman dadah, kesihatan mental generasi muda, keciciran pendidikan dan penguasaan teknologi?

Inilah konsep ta‘awun ‘ala al-birr wa al-taqwa atau kerjasama dalam perkara kebajikan dan kebaikan. Kerjasama tidak semestinya bermaksud parti-parti politik perlu bergabung. Penyatuan ummah jauh lebih luas daripada penyatuan parti.

Bersatu bukan bererti menjadi seragam

Penyatuan ummah akhirnya memerlukan perubahan budaya: daripada menghukum kepada berdialog, daripada taksub kepada tasamuh, daripada fitnah kepada tabayyun, daripada persaingan destruktif kepada ta‘awun, dan daripada sekadar bercakap mengenai ukhuwah kepada membina keadilan yang boleh dirasai.

Umat Islam tidak perlu bersetuju dalam segala-galanya untuk menjadi kuat.

Mereka hanya perlu tahu pada perkara apa mereka boleh berbeza, pada perkara apa mereka wajib bersatu, dan bagaimana perbezaan itu mesti diuruskan dengan ilmu, akhlak dan hikmah.

Dan pemerintah pula mesti memahami bahawa penyatuan tidak boleh dituntut melalui kata-kata sahaja.

Ia mesti dimulakan dengan keadilan. Apabila kuasa dilaksanakan secara saksama, negeri tidak dianaktirikan, lawan tidak ditekan dan perbezaan pendapat dihormati, barulah seruan kepada penyatuan ummah mempunyai wibawa moral yang sebenar.

Jika prinsip ini dapat dibudayakan, penyatuan ummah di Malaysia bukan sahaja akan memperkukuhkan umat Islam, malah menjadi kekuatan kepada kestabilan masyarakat majmuk dan pembinaan sebuah Malaysia yang lebih aman, adil dan sejahtera.

*Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.