Krisis abu Anak Krakatau: Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Jakarta kembali dibuka

Iklan
Pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta mengesahkan operasi penerbangan disambung semula susulan pemantauan terkini terhadap aktiviti Gunung Anak Krakatau. Gambar Agensi

JAKARTA - Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta serta beberapa hab penerbangan utama lain di Indonesia kembali beroperasi pada Selasa selepas ditutup selama beberapa hari susulan krisis abu gunung berapi yang menjejaskan ruang udara negara itu.

Kementerian Pengangkutan Indonesia memaklumkan, lapangan terbang utama yang melayani ibu negara Jakarta bersama empat lapangan terbang lain di sekitar Pulau Jawa telah dibuka semula selepas keadaan keselamatan penerbangan bertambah baik.

Iklan
Iklan

Krisis itu tercetus susulan letusan Gunung Anak Krakatau, kira-kira 150 kilometer dari Jakarta, pada Sabtu lalu yang memuntahkan lava dan abu gunung berapi ke udara.

Akibat pencemaran abu volkanik di ruang udara, lapan lapangan terbang terpaksa menghentikan operasi sepanjang hujung minggu, mengakibatkan hampir 3,000 penerbangan terganggu dan lebih 340,000 penumpang terkandas.

Iklan

Dalam kenyataan di media sosial, pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta mengesahkan operasi penerbangan disambung semula susulan pemantauan terkini terhadap aktiviti Gunung Anak Krakatau.

Sebelum ini, tempoh penutupan lapangan terbang terpaksa dilanjutkan beberapa kali berikutan keadaan abu yang masih membahayakan penerbangan.

Iklan

Walaupun perkhidmatan penerbangan telah kembali beroperasi, syarikat penerbangan kini berdepan cabaran besar untuk menguruskan ribuan penumpang yang terkandas dan menyusun semula perjalanan mereka selepas beberapa hari gangguan.

Singapore Airlines dilaporkan membatalkan 18 penerbangan pada Isnin, manakala satu lagi penerbangan dari Jakarta pada awal pagi Selasa turut dibatalkan.

Syarikat penerbangan itu juga menjadualkan semula enam penerbangan pagi Selasa dengan waktu berlepas dianjak ke sebelah petang bagi mengurangkan kesesakan operasi.

elain Soekarno-Hatta, antara lapangan terbang yang dibuka semula ialah Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta yang mengendalikan penerbangan awam dan ketenteraan, serta Lapangan Terbang Hussein Sastranegara di Bandung, ibu negeri Jawa Barat.

Sebuah lagi lapangan terbang kecil di selatan Sumatera kembali beroperasi pada Isnin, manakala dua daripada lapan lapangan terbang yang ditutup masih belum dibuka semula.

Menurut pihak Soekarno-Hatta, lebih 240 penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan atau ditangguhkan pada pagi Isnin sahaja, menjejaskan hampir 30,000 penumpang.

Bagi mengurangkan kesan gangguan, Kementerian Pengangkutan menyediakan enam lapangan terbang alternatif untuk pesawat yang pada asalnya dijadualkan mendarat di Jakarta.

Gunung Anak Krakatau, yang bermaksud"Anak Krakatau", terletak di Selat Sunda yang memisahkan Pulau Jawa dan Sumatera.

Gunung berapi itu muncul daripada dasar laut pada awal abad ke-20 di kawasan kaldera yang terbentuk selepas letusan besar Gunung Krakatau pada tahun 1883.

Pada 2018, runtuhan sebahagian struktur Gunung Anak Krakatau mencetuskan tsunami yang meragut 429 nyawa dan menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal. - Agensi / Awani