GUWAHATI - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita berusia 25 tahun ditemui mati pada Ahad dalam keadaan mengerikan di kediamannya di Hatigaon, Guwahati, India dengan polis mengesyaki suaminya terbabit dalam pembunuhan tersebut.
Mangsa dikenal pasti sebagai Riya Talukdar, penduduk Noonmati yang dilaporkan bekerja di sebuah butik di kawasan AC Market, Fancy Bazar.
Menurut maklumat awal, kepala mangsa dipenggal dan didakwa dimasukkan ke dalam beg plastik hitam sebelum disimpan di dalam peti sejuk.
Beberapa jari mangsa turut dilaporkan dipotong.
Polis mengesyaki suami mangsa, Ramanujan Goswami yang berasal dari Gauripur mungkin mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.
Berdasarkan siasatan awal, pasangan berkenaan dilaporkan terbabit dalam pertengkaran sebelum Ramanujan meninggalkan kediaman mereka kira-kira jam 8 malam waktu tempatan.
Pembunuhan dipercayai berlaku antara 24 hingga 48 jam sebelum mayat mangsa ditemui.
Kejadian terbongkar selepas jiran terhidu bau busuk dari kediaman berkenaan sebelum memaklumkan perkara itu kepada polis.
Pasukan polis kemudian bergegas ke lokasi dan memulakan siasatan.
Mayat Riya dibawa ke Kolej Perubatan dan Hospital Gauhati (GMCH) untuk bedah siasat bagi membantu menentukan punca serta keadaan kematiannya.
Polis kini menyiasat keseluruhan keadaan yang membawa kepada pembunuhan itu termasuk dakwaan penglibatan suami mangsa.
Motif sebenar kejadian masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan. - Agensi