BANGKOK - Seorang ahli perniagaan dan pempengaruh media sosial Britain-Nigeria maut selepas menjalani prosedur suntikan pembesaran alat sulit di sebuah klinik di Bangkok, Thailand.
Igho ‘Tiny’ Ubiribo, 43, meninggal dunia pada awal pagi 6 Mac lalu, namun butiran mengenai kematiannya hanya didedahkan menerusi laporan media pada September susulan inkues di Mahkamah Koroner Inner West London.
Menurut laporan mengenai prosiding itu, kira-kira 40 mililiter asid hyaluronik dan lidokain digunakan sebagai bahan pengisi dalam prosedur suntikan pada zakar yang bertujuan meningkatkan ukur lilit.
Ubiribo dilaporkan menjalani prosedur tersebut pada 5 Mac sebelum pergi mendapatkan urutan bersama isterinya, Danielle Simba Allen.
Ketika sesi urutan, beliau mengadu mengalami sakit dada sebelum tidak sedarkan diri sebanyak dua kali.
Ambulans kemudian membawanya ke Hospital Sukhumvit di Bangkok.
Ketika tiba di hospital, Ubiribo pada mulanya masih sedar dan mampu menjawab soalan, manakala isterinya memaklumkan doktor mengenai prosedur suntikan yang dilakukan sebelum itu.
Bagaimanapun, beliau sekali lagi tidak sedarkan diri sebelum imbasan tomografi berkomputer (CT) yang disyorkan sempat dilakukan.
Doktor kemudian mendiagnosis Ubiribo mengalami embolisme pulmonari, iaitu keadaan apabila saluran darah di paru-paru tersumbat, sebelum beliau dipindahkan ke unit rawatan rapi.
Pasukan perubatan melakukan bantuan pernafasan dan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama lebih 100 minit, namun gagal menyelamatkannya.
Pemeriksaan bedah siasat yang dilakukan kemudian di Britain dilaporkan menemui bahan dalam paru-paru Ubiribo yang sepadan dengan asid hyaluronik digunakan dalam suntikan tersebut.
Pakar patologi, John du Parcq dilaporkan mendapati hasil pemeriksaan itu selaras dengan dapatan bedah siasat yang dilakukan di Thailand.
Doktor Ubiribo di London memaklumkan inkues bahawa mangsa pernah menjalani pembedahan sendi serta mempunyai pradiabetes dan gout, namun tidak mempunyai masalah kesihatan serius lain.
Penolong koroner, Jean Harkin akhirnya menyimpulkan prosedur kosmetik berkenaan menyebabkan embolisme pulmonari yang membawa kepada kematian Ubiribo.
Ubiribo yang turut dikenali sebagai Denisi atau Ego mempunyai kira-kira 185,000 pengikut di Instagram dan dikenali kerana sering berkongsi gaya hidup mewah di media sosial.
Beliau berkahwin dengan pereka fesyen dan sosialit, Danielle Simba Allen di Zimbabwe pada 2022. - Agensi