SHAH ALAM - Bapa kepada ketua keluarga yang hilang bersama lima individu lain ketika menyertai ekspedisi pendakian laluan Gunung Trans Gerah (Trans GBB), Wan Zairudin Wan Ismail, 66, bertolak dari Shah Alam ke Gerik bersama isteri dan dua anak lelakinya pada Isnin.
Wan Zairudin berkata, beliau bersama isterinya, Rusnani Embong, 65, serta dua anak, Ahmad Aiman, 24, dan Ahmad Ridwan, 38, dijangka tiba di Gerik malam ini bagi mendapatkan perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat (SAR), selain memberikan sokongan moral kepada pasukan yang terbabit.
"Saya dan isteri serta dua anak bertolak dari Saujana Alam Suria, Shah Alam ke Gerik dan dijangka tiba malam ini bagi mendapatkan berita terkini serta memberi semangat kepada semua anggota yang terlibat dalam operasi SAR ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Enam individu yang masih hilang itu ialah anaknya, Wan Ahmad Aslam, 39; menantu, Siti Zulaiha Norizan, 39; dua cucu, Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9; serta dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43.
Kumpulan berkenaan memulakan ekspedisi dari Gua Musang, Kelantan menuju Kem Kemor, Perak pada 29 Ogos lalu dan sepatutnya keluar dari kawasan hutan pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, mereka kini sudah melepasi tempoh 10 hari berada di dalam hutan, sedangkan bekalan makanan yang dibawa hanya mencukupi untuk tempoh enam hingga tujuh hari.
Hubungan terakhir dengan keluarga diterima pada 1 September lalu apabila Siti Zulaiha memaklumkan mereka sekeluarga berada dalam keadaan sihat sebelum komunikasi terputus.
Operasi SAR kini dipergiatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan bantuan helikopter dan Unit Anjing Pengesan (K9), selain pasukan Special Tactical Operation and Rescue Malaysia (STORM) yang bersedia digerakkan jika diperlukan.
Seramai 12 Malim Gunung Perhutanan (MGP) turut digerakkan dari Sungai Siput ke Pos Kemar menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi membantu operasi pencarian melalui laluan darat.
Wan Zairudin berkata, keluarganya kini bimbang kemungkinan ada antara enam individu berkenaan mengalami kecederaan atau tidak mampu bergerak keluar dari kawasan hutan berikutan bentuk muka bumi laluan Trans GBB yang mencabar.
"Saya bimbang ada yang cedera, mungkin itu punca anak, menantu dan dua cucu gagal keluar dari hutan pada jam 3 petang Khamis lalu.
"Mereka juga sudah kehabisan makanan sebab bekalan dibawa hanya cukup untuk enam atau tujuh hari pendakian, tetapi kini sudah melepasi 10 hari," katanya.
Menurutnya, lebih cepat operasi SAR dilakukan dapat membantu menyelamatkan mereka terutama bekalan makanan yang kini dipercayai sudah kehabisan.
Beliau berkata, keluarga anaknya itu sepatutnya keluar hutan pada Khamis lalu dan kemudian pulang ke Yong Peng, kelmarin kerana dua cucu perlu bersekolah selepas cuti persekolahan berakhir semalam.
"Malangnya, sehingga kini tiada berita mengenai mereka dengan kali terakhir menantu menghantar mesej pendek kepada isteri saya pada 1 September memaklumkan mereka sekeluarga sihat dalam pendakian itu dan akan keluar di Kem Kemor di Perak dua hari selepas itu," katanya.