Polis tahan lelaki pukul, kurung isteri bersama empat anak dalam rumah

Iklan
Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mengurung serta mendera isteri dan empat anak lelakinya di sebuah rumah.

​KUALA NERUS – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mengurung serta mendera isteri dan empat anak lelakinya di sebuah rumah di Desa Mutiara, Jalan Gong Badak, di sini pada Ahad.

​Tindakan suspek berusia 36 tahun itu bagaimanapun terbongkar selepas mangsa sempat menghubungi talian MERS 999 bagi meminta bantuan polis.

Iklan
Iklan

​Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihak polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Gong Badak digerakkan ke lokasi berkenaan.

Menurutnya, ​sebaik tiba di lokasi, polis mendapati seorang wanita tempatan bersama empat anak lelakinya di dalam rumah dalam keadaan pintu dikunci menggunakan mangga dari luar.

Iklan

​"Pihak polis terpaksa memotong kunci mangga untuk membuka pintu berkenaan. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian mata kanan serta kesakitan di kepala dan lutut kiri akibat dipukul suspek.

"Siasatan awal mendapati suspek bertindak sedemikian berpunca daripada perasaan cemburu terhadap isterinya. Ini merupakan laporan polis ketiga dibuat berhubung tindakan suspek," katanya di sini pada Isnin.

Iklan

​Mengulas lanjut, Azli berkata, suspek kemudian ditahan di pekarangan Balai Polis Gong Badak jam 3 petang hari yang sama bagi membantu siasatan.

​Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan curi kenderaan, namun ujian saringan air kencing menunjukkan keputusan negatif.

​"Lelaki berkenaan kini direman selama empat hari bermula Isnin selepas perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan," katanya.