SHAH ALAM - Polis menjangkakan siasatan kemalangan permainan roller coaster di Taman Tema Sunway Lagoon, Subang Jaya pada 22 Ogos lalu mengambil masa antara tiga hingga empat bulan untuk dilengkapkan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan masih dijalankan dan belum selesai, termasuk aspek teknikal di lokasi kejadian.
Menurutnya, tempoh berkenaan diperlukan berikutan siasatan membabitkan kerjasama beberapa agensi, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor serta pasukan forensik.
"Kami menjangkakan paling cepat untuk melengkapkan siasatan mengambil masa antara tiga hingga empat bulan kerana ia melibatkan kerjasama JBPM, JKKP Selangor, forensik dan beberapa agensi lain.
"Banyak keterangan telah diambil melibatkan petugas taman tema, petugas roller coaster, mangsa yang cedera dan tidak cedera serta pegawai perubatan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Isnin.
Beliau berkata, polis juga tidak menolak kemungkinan beberapa lagi individu akan dirakam keterangan bagi membantu siasatan, khususnya membabitkan aspek teknikal.
Pada 27 Ogos lalu, polis memaklumkan sedang menyiasat kemungkinan wujud unsur kecuaian dan sabotaj berhubung kemalangan roller coaster berkenaan.
Sunway Lagoon Sdn Bhd sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan selain memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan.
Permainan roller coaster terbabit juga kekal ditutup sementara siasatan dijalankan.
Dalam kes berasingan, Shazeli berkata, siasatan berhubung cubaan samun sebuah kedai emas di Jalan Tengku Kelana, Klang pada 20 Ogos lalu masih dijalankan.
Katanya, polis sudah memperoleh maklumat positif dan tindakan susulan sedang dilakukan.
"Siasatan masih berjalan. Maklumat positif ada dan sedang dalam tindakan susulan. Jika ada kejayaan akan kami kongsikan," katanya.
Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu tular menerusi rakaman video yang memaparkan dua lelaki memakai topi keledar cuba memecahkan rak kaca barang kemas dipercayai menggunakan penukul.
Dua lagi lelaki dipercayai menunggu di luar premis dengan menaiki motosikal.
Tidak lama kemudian, keempat-empat suspek berkenaan melarikan diri dari lokasi kejadian.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis buru geng cuba samun kedai emas