Zahir semarak merdeka, 96 anggota polis berkayak 25km

Iklan
Mohd Khairi (tengah) turut menyertai Ekspedisi Kayak Merdeka bagi menyemarakkan sam butan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia kali ini.

​KUALA TERENGGANU – Seramai 96 anggota polis menzahirkan semangat patriotisme sempena bulan kebangsaan dan Hari Malaysia dengan menjayakan Ekspedisi Kayak Merdeka sejauh 25 kilometer (km) bermula dari Serada ke Dataran Pulau Warisan, di sini.

​Program julung kali anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu itu menyaksikan kesemua peserta berkayak secara berpasangan bermula jam 9 pagi dari Meacon, Serada sebelum menamatkan kayuhan lebih awal daripada sasaran.

Iklan
Iklan

​Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kejayaan menamatkan ekspedisi itu membuktikan komitmen, nilai jati diri dan kerjasama berpasukan yang tinggi dalam kalangan warga pasukan.

​“Perjalanan sejauh 25 kilometer ini bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan kerjasama berpasangan untuk sampai ke destinasi.

Iklan

​“Kita jangkakan ia mengambil masa dua jam, namun kesemua peserta berjaya menamatkannya dalam tempoh kira-kira satu jam sahaja. Ini di luar jangkaan dan mungkin disebabkan semangat kemerdekaan yang tinggi selain cuaca baik,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Dataran Pulau Warisan, di sini pada Isnin.

​Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor.

Iklan

Seramai 96 anggota polis menjayakan Ekspedisi Kayak Merdeka sejauh 25 kilometer bermula dari Serada ke Dataran Pulau Warisan, di Kuala Terengganu pada Isnin.

​Mohd Khairi menjelaskan, program itu juga bertujuan memastikan pegawai dan anggota sentiasa berada pada tahap kecergasan fizikal yang optimum.

​Katanya, ekspedisi berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini menerusi kawalan keselamatan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Marin dan Jabatan Penerangan Malaysia.

"​Melihat kepada kejayaan penganjuran sulung kali ini, kita berhasrat menjadikan ekspedisi berkenaan sebagai acara tahunan dengan jarak kayuhan yang lebih mencabar sehingga 30 kilometer pada masa akan datang," ujarnya.