Terengganu International Summit 2026 garis lima pendekatan perkukuh Palestin

Iklan
Muhammad Khalil ketika berucap sempena Majlis Perasmian Terengganu International Summit 2026 yang berlangsung di Stadium Negeri, di Kuala Terengganu, pada Jumaat.

KUALA TERENGGANU - Lima pendekatan utama perlu digerakkan secara tersusun bagi memperkukuh solidariti terhadap Palestin, merangkumi kesatuan diplomatik, kekuatan ekonomi, penguasaan media, pendidikan serta bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula.

​Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, usaha membela rakyat Palestin tidak seharusnya terhenti pada slogan, persidangan atau kenyataan media semata-mata.

Iklan
Iklan

​Sebaliknya, beliau berkata solidariti itu perlu dizahirkan melalui dasar, peruntukan, jaringan kerjasama dan tindakan konkrit yang mampu memberikan kesan kepada perjuangan rakyat Palestin.

​"Pendekatan pertama ialah memperkukuh kesatuan diplomatik negara Islam dalam menuntut perlindungan orang awam, akses bantuan kemanusiaan dan penyelesaian adil berdasarkan hak rakyat Palestin.

Iklan

Antara barisan delegasi ulama antarabangsa dan dalam negara yang menghadiri Majlis Perasmian Terengganu International Summit 2026 di Stadium Negeri di Kuala Terengganu pada Jumaat.

​"Kedua, mempererat kerjasama ekonomi melalui perdagangan, dana kemanusiaan dan bantuan pembangunan, manakala ketiga ialah penguasaan media dan naratif menerusi penyelidikan, dokumentasi serta komunikasi strategik bagi menyampaikan fakta dan menangani maklumat mengelirukan," katanya.

Iklan

​Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi merasmikan Majlis Perasmian Terengganu International Summit 2026 yang berlangsung di Stadium Negeri, di sini, pada Jumaat.

​Hadir sama, Presiden Pas merangkap Mantan Naib Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung Jabatan Mufti Kesultanan Oman, Syeikh Ahmad Saud Al-Syiabi; dan Pengarah bagi Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ustaz Mohd Zulkhairi Ngah.

​Khalil yang juga Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa Pas Pusat berkata, pendekatan keempat melibatkan pendidikan dan pembinaan generasi bagi memastikan isu Palestin terus difahami oleh generasi muda.

​"Antaranya menerusi pendidikan sejarah, kesedaran kemanusiaan, literasi media dan pembinaan nilai keadilan," katanya.

​Tambah beliau, pendekatan kelima pula memberi tumpuan kepada penyelarasan bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula, termasuk penyediaan makanan, pendidikan, pemulihan infrastruktur serta usaha memulihkan kehidupan rakyat Palestin.

​"Semua usaha ini perlu dilaksanakan secara tersusun, berterusan dan menyeluruh," katanya.

​Beliau berharap persidangan itu menjadi medan memperkukuh kesatuan umat Islam, meningkatkan kerjasama antara negara dan membina kekuatan strategik dalam memperjuangkan hak, kebebasan serta keadilan untuk rakyat Palestin.

​"Marilah kita menjadikan persidangan ini sebagai medan memperbaharui tekad. Kita perkasa institusi ilmu dan terus berdiri bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mendapatkan hak, kebebasan dan keadilan.

​"Semoga ALLAH SWT mengurniakan kekuatan kepada rakyat Palestin, melindungi mereka yang tertindas, merahmati para syuhada, menyembuhkan mereka yang cedera dan membuka jalan kepada keamanan yang adil serta berkekalan.

​"Semoga ALLAH SWT menyatukan hati umat Islam, membimbing para pemimpin kita ke jalan yang benar dan menjadikan usaha kita sebagai amal soleh yang diterima di sisiNya," ujar beliau.