BATU PAHAT – “Sampai sekarang saya masih teringat keadaan Haira ketika saya papah dia, penuh darah.”
Demikian luahan ibu saudara kepada Nur Haira Watikah Mohammad Hamizi, 2, yang masih terbayang detik cemas ketika memapah anak saudaranya selepas dipercayai diserang sekumpulan anjing liar di hadapan rumahnya di Kampung Tambak, Peserai, di sini, kira-kira jam 7 pagi Sabtu lalu.
Nur, 23, yang juga anak bongsu daripada lima beradik berkata, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum dikejutkan oleh jeritan ibunya yang berulang kali menyebut nama Haira.
“Lokasi kejadian kira-kira 10 meter sahaja dari rumah.
“Saya terus keluar dan ketika sampai, Haira sudah terbaring, kelihatan sangat lemah dan badannya penuh darah.
“Ketika itu, ibu sudah menghalau anjing. Saya terus cuba papah Haira. Saya takut juga hendak angkat sebab risau tersalah pegang, tetapi badan dia memang sangat lemah,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumah pada petang Isnin.
Menurutnya, dia bersama ibu dan ayahnya kemudian segera membawa Haira ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk mendapatkan rawatan.
“Doktor terus membawa Haira masuk dan cuba menstabilkan keadaannya. Selepas stabil, doktor melakukan imbasan CT dan pemeriksaan darah sebelum Haira dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Nur berkata, Haira selesai menjalani pembedahan membabitkan beberapa anggota badan di HSA pada Ahad dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Perkara itu dimaklumkan oleh ibu bapa Haira yang kini berada di HSA.
“Pembedahan berjalan lancar dan saya diberitahu doktor sedang meneliti keadaannya yang kini dilaporkan stabil. Alhamdulillah, saya berharap anak buah cepat sembuh,” katanya.
Nur berkata, Haira dihantar oleh ibu bapanya ke rumah neneknya kerana cuti sekolah, selain abangnya turut berada di rumah berkenaan.
“Ibu bapa Haira hendak ke Johor Bahru untuk berniaga dan mereka tinggal tidak jauh dari rumah kami,” katanya.
Dalam pada itu, Nur berkata, terdapat sekurang-kurangnya lima hingga enam ekor anjing yang sering berkeliaran di kawasan kampung berkenaan.
Menurutnya, anjing yang menyerang Haira dipercayai ditinggalkan oleh pemburu selepas digunakan untuk memburu babi di kebun sawit berhampiran rumah.
“Mereka menggunakan anjing ini dan apabila selesai memburu, mereka tinggalkan anjing di sini.
“Kami sudah lama risau dengan anjing liar ini kerana jumlahnya semakin bertambah. Penduduk juga sudah banyak kali membuat aduan mengenai anjing di kawasan ini.
“Kami berharap tindakan segera dapat diambil kerana kami masih risau perkara sama berlaku lagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian berkenaan dengan haiwan.