Pengalaman tiga dekad jadi taruhan Firdaus

Iklan
Firdaus selesa turun sebagai calon 'underdog' menjelang Kongres Pemilihan FAM pada 17 September ini. Foto: Agensi.

BERBEKALKAN pengalaman lebih tiga dekad dalam bola sepak tempatan sebagai pemain, jurulatih dan pentadbir persatuan, Mohd Firdaus Mohamed melihat pengalaman luas itu sebagai kelebihan untuk menawarkan diri bagi jawatan Naib Presiden 1 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) itu tidak mahu meletakkan dirinya sebagai pilihan utama, sebaliknya selesa membawa imej ‘underdog’ menjelang Kongres Pemilihan FAM pada 17 September ini.

Iklan
Iklan

Firdaus menjelaskan keputusan untuk kembali bertanding bukan didorong keinginan mengejar jawatan, sebaliknya atas rasa tanggungjawab untuk membantu memperbaiki landskap bola sepak negara berdasarkan pengalaman yang dimilikinya.

“Biarlah saya turun sebagai ‘underdog’. Saya lebih suka kepada ‘underdog’. Saya terpanggil untuk bertanding ini lebih kepada untuk membantu,” katanya.

Iklan

Beliau pernah berada dalam kepimpinan FAM selama dua penggal, bermula sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) dari 2018 hingga 2021 sebelum dilantik sebagai Naib Presiden bagi penggal 2021-2025.

Firdaus yang memilih untuk tidak bertanding pada pemilihan lalu bagaimanapun bersedia kembali mencurahkan pengalaman sekiranya diberi kepercayaan oleh perwakilan.

Iklan

“Saya pernah terlibat dalam FAM selama dua penggal, bermula daripada Exco sehingga menjadi Naib Presiden. Kalau diberi peluang, saya bersedia untuk kembali berkhidmat demi bola sepak negara,” katanya.

Beliau terlebih dahulu membina pengalaman di atas padang selepas memulakan karier sebagai pemain pada awal 1990-an bersama beberapa pasukan termasuk PKNS, Detas Pahang dan Kurnia Insurance sebelum beralih ke bidang kejurulatihan.

Selepas itu, Firdaus melatih Kurnia Insurance dalam saingan Liga Dunhill Kuala Lumpur, sekali gus melengkapkan pengalaman beliau dalam tiga bidang utama bola sepak iaitu pemain, jurulatih dan pentadbiran.

Dalam pentadbiran FAM, antara tanggungjawab penting yang pernah dipikulnya ialah mengetuai Jawatankuasa Penswastaan Liga Malaysia pada 2018, yang membawa kepada proses pemisahan pasukan daripada Persatuan Bolasepak Negeri (FA) kepada kelab bola sepak (FC) pada penghujung 2020.

Beliau kemudiannya menerajui Jawatankuasa Pertandingan FAM dengan memberi perhatian kepada usaha memperkasakan saingan peringkat pembangunan supaya laluan pemain muda ke tahap lebih tinggi dapat diperkemaskan.

Firdaus turut terbabit dalam usaha menghidupkan semula Pestabola Merdeka pada 2023 selepas kejohanan berprestij yang dianggap antara tertua di Asia itu kali terakhir dianjurkan pada 2013.

Menghadapi persaingan tiga penjuru untuk satu jawatan Naib Presiden 1, beliau bakal berdepan penyandang Datuk Seri Rosmadi Ismail dan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Syed Yazid Syed Omar.

Firdaus menganggap persaingan itu bukan mudah, namun percaya pengalaman serta pendekatan mendengar suara penyokong boleh menjadi sumbangan penting sekiranya diberi mandat.

“Banyak penambahbaikan yang harus kita lakukan. Sesiapa saja yang dipilih perlu banyak melakukan ‘engagement’ dengan penyokong Harimau Malaya kerana bola sepak ini milik rakyat,” katanya.

Di PBMM pula, Firdaus berjaya memastikan saingan Piala Emas Raja-Raja (PERR) dan Piala Agong terus dianjurkan setiap tahun walaupun berdepan kekangan kewangan, dengan PERR tahun ini bakal memasuki edisi ke-104 sejak diperkenalkan pada 1922.

Kejohanan berkenaan turut menjadi medan mencungkil bakat pemain Melayu yang kemudiannya melangkah ke pentas lebih tinggi, termasuk legenda negara Allahyarham Shaharuddin Abdullah, Yahya Jusoh, Radhi Mat Din, Allahyarham Hashim Mustapha serta pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Faiz Subri.