NUWAKOT - Seorang wanita Nepal ditemukan masih hidup selepas terperangkap selama 10 hari di dalam rumahnya yang tertimbus lumpur tebal dan timbunan serpihan akibat banjir besar yang melanda wilayah berkenaan.
Chandrika Shrestha, 64, berjaya diselamatkan dari kediamannya di daerah Nuwakot pada Sabtu, sekali gus mencetuskan kegembiraan dalam kalangan anggota Pasukan Polis Bersenjata Nepal yang terlibat dalam operasi tersebut.
Mangsa ditemui ketika anggota keselamatan sedang menjalankan kerja pembersihan di kawasan berkenaan sebelum dibawa keluar dari rumahnya dalam keadaan tubuh diselaputi lumpur.
Timbalan Penguasa Polis, Iqbal Hawari berkata, mangsa kemudian diterbangkan ke Kathmandu untuk mendapatkan rawatan.
“Pasukan polis menemuinya ketika mereka sedang membersihkan kawasan itu. Dia kemudian diterbangkan ke Kathmandu untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada AFP.
Rakaman video yang dikeluarkan Pasukan Polis Bersenjata Nepal menunjukkan hanya sebahagian rumah mangsa masih kelihatan, manakala bahagian bawah kediaman itu tenggelam sepenuhnya dalam lumpur tebal.
Terdahulu, pasukan kecemasan memaklumkan seorang lelaki warga China turut ditemukan masih hidup di dalam sebuah terowong Projek Hidroelektrik Upper Trishuli-1 di daerah Rasuwa, Nepal.
Kejayaan menyelamatkan kedua-dua mangsa itu memberi harapan kepada pasukan penyelamat yang terus bertungkus-lumus mencari mangsa terselamat sejak bencana dahsyat melanda kawasan sempadan China-Nepal pada 26 Ogos lalu.
Bencana itu berlaku selepas runtuhan glasier dan batuan mencetuskan gelombang besar air dan lumpur seakan-akan tsunami yang membadai kawasan berkenaan.
Pasukan tindak balas kecemasan terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan ribuan mangsa yang masih hilang.
Menurut agensi pengurusan bencana kebangsaan Nepal, sebanyak 1,344 mayat telah ditemui di negara itu, manakala kira-kira 5,000 individu masih hilang.
Di China, media kerajaan melaporkan seramai 31 individu maut, manakala 531 lagi masih hilang.
Angka itu menjadikan keseluruhan korban di Nepal dan China seramai 1,375 orang, manakala lebih 5,500 lagi masih hilang. - AFP