JAKARTA - Kira-kira 170,000 penumpang terkandas selepas pihak berkuasa Indonesia menggantung operasi di lapan lapangan terbang susulan letusan Gunung Anak Krakatau yang menghamburkan abu volkanik ke ruang udara di beberapa wilayah di negara itu.
Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, hab penerbangan tersibuk Indonesia, menjadi yang pertama ditutup selepas abu volkanik dikesan di ruang udara berhampiran lapangan terbang berkenaan pada Ahad.
Penutupan itu kemudiannya diperluaskan ke tujuh lagi lapangan terbang atas faktor keselamatan penerbangan.
Kementerian Pengangkutan Indonesia memaklumkan sebanyak 1,558 penerbangan tertangguh atau dibatalkan akibat gangguan tersebut, dengan lebih 900 daripadanya membabitkan penerbangan ke dan dari Soekarno-Hatta.
Perkembangan terbaharu menunjukkan penutupan lapangan terbang dilanjutkan sehingga pagi Isnin susulan perubahan arah angin yang menyebabkan abu volkanik terus menjejaskan ruang udara di barat Indonesia.
Menteri Pengangkutan Indonesia, Dudy Purwagandhi berkata, keputusan menutup lebih banyak lapangan terbang dibuat selepas ujian mendapati abu daripada letusan berkenaan telah merebak ke Jawa Barat.
Beliau turut mengarahkan syarikat penerbangan mempercepatkan proses bayaran balik tiket dan menyalurkan maklumat terkini kepada penumpang bagi mengelakkan kesesakan di terminal.
Letusan Anak Krakatau bermula lewat Jumaat malam dan menghasilkan aktiviti seismik berterusan, pancutan lava serta dentuman yang boleh didengari sehingga ratusan kilometer dari gunung berapi itu. Dua lagi letusan direkodkan pada Ahad.
Menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG), abu volkanik mencapai ketinggian sekitar 6,000 meter di sebelah timur gunung berapi itu dan sehingga 15,000 meter di sebelah barat menghala ke Sumatera.
Gangguan penerbangan memberi kesan kepada laluan antarabangsa utama termasuk Singapura, Kuala Lumpur, Doha, Sydney, Seoul, Hong Kong dan Amsterdam.
Beberapa syarikat penerbangan, termasuk Singapore Airlines, Scoot, Malaysia Airlines dan AirAsia, membatalkan penerbangan ke dan dari Jakarta.
Selain sektor penerbangan, aktiviti harian penduduk turut terjejas apabila beberapa sekolah di Jakarta dan kawasan berhampiran beralih kepada pengajaran dalam talian, manakala nelayan di beberapa kawasan pesisir pantai membatalkan operasi akibat hujan abu.
Laporan media tempatan menyatakan ramai penduduk mengalami iritasi mata susulan hujan abu yang tebal.
Kementerian Kesihatan Indonesia menggesa orang ramai kekal berada di dalam rumah dan memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko masalah pernafasan, mata dan kulit.
Agensi mitigasi bencana Indonesia (BNPB) bagaimanapun menegaskan tiada ancaman tsunami dikesan setakat ini, walaupun Anak Krakatau terletak di Selat Sunda antara Pulau Jawa dan Sumatera.
Pihak berkuasa turut merancang operasi pembenihan awan bagi membantu mempercepatkan proses pemendapan abu volkanik.
Anak Krakatau, yang bermaksud “Anak Krakatoa”, muncul daripada kaldera yang terbentuk selepas letusan dahsyat Gunung Krakatoa pada tahun 1883.
Gunung berapi itu pernah runtuh sebahagiannya pada 2018 dan mencetuskan tsunami yang meragut lebih 400 nyawa serta mencederakan ribuan penduduk di pesisir Jawa dan Sumatera. - Awani