SEMARANG - Misteri kehilangan seorang gadis selama lebih setahun akhirnya terungkai selepas rangka milik mangsa akhirnya ditemukan.
Mozza Axillia Gunarsa, 18, warga Desa Gebugan, Kecamatan Bergas, Kabupaten Semarang, Jawa Tengah di Indonesia dilaporkan hilang sejak 25 Jun 2025.
Mozza sempat memaklumkan kepada ibu bapanya menerusi mesej WhatsApp bahawa dia mahu menghantar komputer riba milik rakannya di sekitar kawasan Makodam Semarang.
Bapanya, Suara Singgih, 42, berkata, anaknya tidak pulang sejak hari kejadian hingga dia terpaksa menggunakan pelbagai cara termasuk menghubungi Bupati Semarang, Gabenor Jawa Tengah dan pegawai kanan polis menerusi mesej langsung di Instagram bagi mendapatkan perhatian terhadap kes berkenaan.
Usaha menjejaki Mozza sejak setahun lalu bukan mudah. Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Semarang, AKP Bodia Teja Lelana berkata, pihaknya berdepan kesukaran ketika meneliti akaun media sosial yang dipercayai kerap berhubung dengan mangsa sebelum dia hilang.
Menurut Bodia, telefon bimbit Mozza juga telah dikembalikan semula kepada tetapan kilang hingga menyebabkan usaha mengesannya menjadi lebih sukar.
Kes kehilangan Mozza akhirnya mendapat petunjuk apabila polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam pembunuhannya pada minggu lalu.
"Terdapat sebuah peranti elektronik yang masih mempunyai akses kepada akaun media sosial miliknya, sekali gus membantu polis mendapatkan maklumat penting dalam siasatan," ujar Bodia.
Mozza sempat menemui seorang lelaki yang dipercayai merupakan rakan rapatnya. Siasatan kemudiannya membawa kepada penahanan MDVA atau V, 22, di kediamannya di Kabupaten Blora, Jawa Tengah.
"Pelaku yang dikenali mangsa menerusi platform TikTok mengaku membunuh Mozza pada 25 Jun 2025, tiga hari sebelum kehilangannya dilaporkan secara rasmi. Dia yang ketika itu menganggur juga bertindak kejam membuang mayat mangsa di pinggir Jalan Tol Jangli.
"Perbuatan itu didorong oleh rasa cemburu melampau hanya kerana Mozza berkomunikasi dengan lelaki lain. Pada mulanya berlaku pertengkaran antara mereka sebelum berakhir dengan pembunuhan," jelasnya lagi.
Pada Jumaat lalu, suasana pilu menyambut ketibaan jenazah Mozza di rumah duka di Dusun Gebugan, Kabupaten Semarang selepas dibawa pulang menggunakan ambulans milik PMI Kabupaten Semarang untuk dikebumikan. - Agensi