SETIAP kali berlangsungnya MATTA Fair, lautan manusia membanjiri ruang pameran, dengan kaunter pakej pelancongan tidak putus-putus menerima pengunjung, malah ada yang sanggup beratur panjang demi mendapatkan tawaran terbaik.
Pasar raya dan restoran terus meriah, terutama hujung minggu, lalu ada yang menyimpulkan ekonomi Malaysia masih baik.
Namun, jika rakyat berdepan tekanan kewangan, bagaimana mereka masih mampu bercuti, berbelanja dan makan di luar?
Namun, realitinya tidak semudah itu. Merak Jalanan percaya corak perbelanjaan tidak semestinya mencerminkan kedudukan kewangan sebenar rakyat.
Ada yang menggunakan simpanan, mengejar promosi murah atau kemudahan kredit. Ertinya, rakyat masih berbelanja, tetapi terpaksa berjimat dalam keperluan lain.
Rakyat Malaysia juga memang unik. Harga barang naik, teh tarik tetap dicari; poket menipis, sesekali tetap mahu berjalan. Restoran penuh bukan semestinya tanda rakyat kaya, sebaliknya ruang menikmati hidup sekali-sekala.
Kita juga tidak boleh menafikan ekonomi negara masih bergerak, cukup positif dan banyak sektor menunjukkan perkembangan baik. Peluang pekerjaan wujud dan pengguna masih mempunyai keyakinan untuk berbelanja.
Kesimpulannya, MATTA Fair yang penuh, pasar raya yang sesak dan restoran yang meriah memang petanda ekonomi masih bernyawa dan aktif. Tetapi untuk mengetahui keadaan sebenar kehidupan rakyat, jangan tengok pada troli atau tiket kapal terbang semata-mata.
Cuba tanya soalan paling jujur menjelang hujung bulan:"Masih ada baki dalam akaun atau sudah menunggu gaji masuk?" Di situlah terletaknya jawapan sebenar ekonomi rakyat Malaysia.