SEJAK akhir-akhir ini Merak Jalanan tengok makin banyak majlis anugerah hiburan di kaca televisyen. Ada yang Merak Jalanan sendiri tak sedar majlis sedang bersiaran langsung. Tahu-tahu sudah ada pemenang dan ucapan penuh emosi daripada artis di atas pentas.
Bagi Merak Jalanan, perkembangan ini bagus untuk industri hiburan tanah air. Sekurang-kurangnya ada usaha menghargai bakat dan kerja keras anak seni. Artis pun ada pentas untuk diraikan manakala peminat pula dapat menyaksikan idola masing-masing bergaya di karpet merah.
Iklan
Iklan
Cuma apabila terlalu banyak majlis anugerah dianjurkan, tidak lagi rasa teruja melihat muka yang sama sahaja muncul dari satu anugerah ke satu anugerah lain. Sampai terkeliru, artis ini popular dengan lagu apa, dan menang anugerah mana satu?
Kalau dibandingkan dengan zaman dahulu, majlis anugerah mungkin tidak sebanyak sekarang tetapi persaingan menghasilkan lagu bermutu cukup terasa. Setiap penyanyi ada album dan identiti tersendiri, malah lagu mereka boleh bertahan bertahun-tahun.
Hari ini kebanyakan artis kita lebih popular menerusi drama, program televisyen dan media sosial. Tidak salah, tetapi industri muzik juga perlu terus melahirkan karya yang mampu meninggalkan kesan kepada pendengar.
Mungkin sudah tiba masanya penganjur menilai semula jumlah majlis anugerah dianjurkan. Bukan bermaksud kita tidak perlu hargai artis tetapi biarlah anugerah seiring dengan kualiti karya supaya tidak nampak sekadar syok sendiri.
Merak Jalanan masih menantikan komposer-komposer hebat tanah air seperti Datuk M Nasir, Saari Amri, Manan Ngah dan Fauzi Marzuki kembali menyemarakkan industri dengan karya berjiwa besar. Mereka antara nama yang membuatkan kita menunggu-nunggu lagu baharu dengan sentuhan dan identiti tersendiri.