Di mana hilangnya adab?

Iklan
Baru-baru ini, video pertengkaran antara Seorang wanita dan seorang lelaki di sebuah pusat beli-belah tular di media sosial.

BARU-BARU ini, video pertengkaran antara seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah pusat beli-belah tular di media sosial.

Dalam sekelip mata, pertengkaran yang sepatutnya menjadi konflik peribadi bertukar menjadi tontonan awam, malah mengundang pelbagai komen, kecaman dan hukuman daripada netizen yang hanya melihat beberapa minit rakaman.

Iklan
Iklan

Namun, di sebalik pertengkaran itu, ada satu perkara yang lebih besar untuk kita fikirkan: di mana hilangnya adab? Ironinya, pergaduhan itu melibatkan orang Melayu yang sejak turun-temurun dikenali dengan adat dan sopan santun.

Sudahlah memotong barisan, apabila ditegur bukan meminta maaf, sebaliknya maki hamun pula yang keluar. Perkara yang kecil akhirnya menjadi pertengkaran besar hanya kerana masing-masing mahu menang dan tidak mahu mengalah.

Iklan

Orang tua-tua dahulu selalu berpesan, adab dulu, baru ilmu. Pesan itu nampak mudah, tetapi semakin lama semakin terasa mahal harganya. Sebab orang yang beradab akan tahu bagaimana menggunakan ilmunya dengan betul.

Dia tahu bila perlu bercakap, bila perlu diam, bila perlu mempertahankan hak dan bila perlu mengalah demi menjaga hati serta keharmonian orang lain.

Iklan

Ilmu tanpa adab boleh melahirkan kesombongan. Ada ilmu tetapi merasakan dirinya sentiasa betul, tahu hak sendiri tetapi lupa hak orang lain, pandai bercakap, tetapi tidak tahu menjaga tutur kata. Apa gunanya berpendidikan tinggi kalau masih tidak tahu menghormati orang lain?

Sebab itu, jangan terlalu cepat berbangga dengan berapa banyak ilmu yang kita ada jika perkara sekecil beratur pun kita tidak mampu lakukan dengan tertib. Orang tak tahu pun kita siapa tetapi kalau kita bersopan santun serta beradab, orang akan lebih menghormati.

Memotong barisan mungkin biasa pada sesetengah orang. Cuba fikirkan, kita bukan sahaja mencuri giliran orang lain, tetapi kita sebenarnya menunjukkan betapa nipisnya adab dalam diri dan tidak berdisiplin.

Sekarang ini semua orang ada smartphone yang boleh merakan perangai jelik ini, disebarkan dan dijadikan bahan tontonan di media sosial. Netizen kemudian menjadi hakim dan peguam tak bertauliah yang sibuk mencari siapa salah dan siapa betul, sekaligus menjatuhkan hukuman berdasarkan pertimbangan emosi.

Ketika di jalan raya misalnya, lihat sahaja perangai pemandu yang suka memotong barisan terutama di plaza tol atau susur masuk yang sesak. Bukan sahaja tidak menghormati pemandu lain yang sedang beratur dengan muka selamba, bahkan bila dihon terus naik angin.

Lebih menyakitkan hati bukan sahaja menghambur kata makian, ada yang siap tunjuk jari tengah dan ajak bergaduh. Di mana adab kita? Sering juga berlaku kita mahu orang memberi laluan, tetapi apabila orang lain meminta laluan, kita cepat-cerpat tekan minyak.

Ilmu boleh mengajar kita cara memandu tetapi adab mengajar kita bila perlu memperlahankan kenderaan, memberi laluan dan menghormati orang lain. Ada waktunya kita hanya perlu mengalah, tarik nafas dan teruskan perjalanan.

Kerana akhirnya, yang lebih hebat bukan orang yang paling kuat menekan hon atau paling garang menyinsing lengan, tetapi orang yang masih mampu mengawal perangai ketika orang lain sudah hilang adab.

Mungkin sudah sampai masanya kita berhenti bertanya “berapa banyak ilmu yang kita ada?” tetapi “berapa banyak adab yang kita masih ada?” Ilmu boleh membuatkan kita kelihatan bijak tetapi adab menentukan sama ada kebijaksanaan itu memberi manfaat atau sekadar membuatkan kita kelihatan angkuh dan ego.

Bukankah lebih baik meminta maaf sekiranya tersilap. Kalau berlaku salah faham, jelaskan. Bukan semua perkara perlu berakhir pertengkaran atau pergaduhan.

Pelikkan, selalunya kita mahu dihormati tetapi kadang-kadang kita tidak sendiri mahu menghormati orang lain.

*Azmi Tarmizi ialah Editor Eksekutif di Sinar Harian. Anak jati Felda Soeharto KKB yang gemar bermain pickelball