Cubaan lari pemeriksaan polis bongkar penemuan dadah

Iklan
Polis kini sedang mengesan pemandu yang melarikan diri selain menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pemilikan dadah yang dirampas.

KAJANG - Tindakan dua warga asing yang menaiki kenderaan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis membongkar penemuan tiga paket plastik dipercayai dadah jenis syabu pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang mengarahkan sebuah Honda City berwarna putih untuk berhenti bagi pemeriksaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagaimanapun pemandu kenderaan berkenaan enggan mematuhi arahan sebelum melarikan diri ke arah Semenyih.

"Suspek kemudian memasuki Lebuhraya SILK sebelum menuju ke Jalan Reko dan dipercayai memandu secara berbahaya.

Iklan

"Kenderaan berkenaan turut terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan awam sebelum berjaya ditahan berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Reko," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Naazron berkata, pemandu lelaki yang merupakan warga asing berjaya melarikan diri, manakala wanita yang berada di tempat duduk penumpang hadapan berjaya ditahan.

Iklan

"Hasil pemeriksaan menemukan tiga paket plastik lutsinar berisi serbuk kristal yang disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 2.13 gram.

"Polis turut merampas sebuah Honda City bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, wanita warga asing terbabit juga gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

"Siasatan berkaitan kemalangan jalan raya turut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Naazron berkata, polis kini sedang mengesan pemandu yang melarikan diri selain menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pemilikan dadah yang dirampas.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, SM Norhafdzeli Ismail di talian 010-373 5508 atau IPD Kajang di talian 03-8911 4222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.