Rumah mampu milik perlu dekat pengangkutan awam, peluang kerja – Kor Ming

Iklan
Kor Ming

SHAH ALAM - Projek pembangunan rumah mampu milik digalakkan dibina berdekatan kemudahan pengangkutan awam dan peluang pekerjaan bagi memudahkan rakyat mencari rezeki serta menjalani kehidupan seharian.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ini kerana ia merupakan keperluan asas dan hak rakyat, bukan sekadar komoditi untuk diperdagangkan.

Iklan
Iklan

“Justeru, pembangunan perumahan mesti berteraskan keperluan rakyat, dengan akses kepada pengangkutan awam, peluang pekerjaan, kawasan hijau dan kemudahan komuniti yang selamat serta berdaya huni,” katanya.

Pada masa sama Kor Ming yang juga Presiden Perhimpunan UN-Habitat memaklumkan, kerajaan menyasarkan pembinaan sejuta rumah mampu milik bagi tempoh 2026 hingga 2035, termasuk 500,000 unit menjelang 2030.

Iklan

Usaha itu disokong menerusi pengecualian duti setem dan akses pembiayaan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) berjumlah RM60 bilion.

“Terutama untuk pembeli rumah pertama, pekerja gig dan individu yang bekerja sendiri, selain pendekatan sewa untuk dimiliki (Rent-To-Own) bagi mereka yang berdepan kekangan wang pendahuluan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam Majlis Sambutan Hari Habitat Sedunia Peringkat Malaysia Tahun 2026 yang diadakan sempena Majlis Makan Malam Gala UN-Habitat di Putrajaya pada Khamis.

Majlis berkenaan turut dihadiri duta dan perwakilan dari 28 negara, dengan sambutan tahun ini mengangkat tema nasional ‘Bandar Masa Hadapan yang Ingin Saya Diami’.

Mengulas pembangunan bandar masa hadapan, beliau menjelaskan, kemajuan tidak seharusnya ketepikan warisan negara, sebaliknya elemen tradisional boleh digabungkan dengan teknologi moden.

Menurut Kor Ming, reka bentuk rumah tradisional Melayu seperti struktur bertiang, bukaan untuk pengudaraan semula jadi dan ruang serambi boleh dijadikan rujukan dalam menghasilkan kediaman yang lebih selesa serta berdaya tahan terhadap cuaca panas mahupun risiko banjir.

“Yang lama dikelek, yang baharu didukung. Membina bandar baharu masa hadapan tidak bermakna kita mengetepikan warisan dan sejarah,” katanya.

Dalam pada itu, Kor Ming menyeru 156 pihak berkuasa tempatan (PBT), pemaju dan perancang bandar supaya melibatkan penduduk dalam perancangan pembangunan serta mengambil kira keperluan kanak-kanak, wanita, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.