KUALA LUMPUR – Seorang pekerja penyelenggaraan maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol di Lebuhraya Sultan Iskandar di sini pada awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar dua pekerja yang sedang bertugas di lorong kiri lebuh raya berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 5.08 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lima pekerja yang terdiri daripada seorang penyelia, seorang pemandu lori dan tiga warga Bangladesh sedang menjalankan kerja pemasangan papan tanda amaran di bawah kontrak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Siasatan mendapati kerja-kerja berkenaan bermula pada jam 11 malam Jumaat hingga 4 pagi Sabtu.
“Akibat kemalangan itu, seorang penyelia lelaki berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu pemandu lori berusia 49 tahun mengalami kecederaan di kepala dan tangan kanan serta kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurutnya, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Hasil ujian saringan pernafasan alkohol terhadap pemandu mendapati bacaan sebanyak 64 miligram bagi setiap 100 mililiter (mg/100 ml).
“Pemandu berkenaan ditahan dan direman selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Oktober bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b) dan Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.