KOTA TINGGI - Dua kebakaran membabitkan kawasan lalang dan kebun bertanah gambut berlaku di sekitar Pengerang di sini pada Ahad, dengan keseluruhan kawasan terjejas dianggarkan lebih 27 hektar.
Kebakaran pertama berlaku di belakang Perkuburan Cina, Bukit Pelali, pada jam 5.08 petang, membabitkan kawasan seluas 17 hektar.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mohd Nur Aizat Ayub berkata, operasi membabitkan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove dan BBP Punggai dengan dua jentera FRT serta sebuah kenderaan utiliti.
“Sektor A membabitkan kawasan seluas 13 hektar, manakala sektor B seluas empat hektar.
"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula sepanjang 122 meter dengan pam jentera di sektor A dan satu aliran sepanjang 213 meter dengan satu pancutan di sektor B," katanya dalam kenyataan.
Mohd Nur Aizat berkata, keseluruhan kawasan seluas 17 hektar berjaya dipadamkan dan tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Sementara itu, kebakaran kebun tanah gambut turut berlaku di Kampung Sungai Buntu, Pengerang, pada jam 1.13 tengah hari.
Komander Operasi dari BBP Sungai Rengit, PBK I Shahrizal Aspar berkata, kebakaran membabitkan kawasan kira-kira 10.1175 hektar.
Katanya, operasi berkenaan membabitkan 10 anggota dari BBP Sungai Rengit dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Rengit, dengan bantuan sebuah jentera FRT, sebuah tangki air dan sebuah kenderaan utiliti.
“Sebanyak 6.0705 hektar berjaya dipadamkan, manakala baki kebakaran dianggarkan 4.047 hektar.
"Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 335 meter dengan dua unit breeching dan tiga pancutan, selain sumber air daripada tangki air PBS Sungai Rengit," katanya.
Beliau berkata, kira-kira 60 peratus kawasan kebakaran berjaya dipadamkan, namun operasi masih diteruskan.
“Keadaan kebakaran dijangka berkemungkinan bertambah berikutan cuaca panas dan tiupan angin kuat di lokasi kejadian,” katanya.