Letusan: 6 penerbangan dari Pulau Pinang ke Jakarta batal, 1,000 penumpang terjejas

Iklan
Pembatalan itu melibatkan penerbangan AirAsia, TransNusa dan Batik Air, dengan kira-kira 1,000 penumpang terjejas.

GEORGE TOWN - Sebanyak enam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke Jakarta, Indonesia dibatalkan pada Ahad susulan penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, akibat abu vulkanik daripada letusan Gunung Anak Krakatau.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, pembatalan itu melibatkan penerbangan AirAsia, TransNusa dan Batik Air, dengan kira-kira 1,000 penumpang terjejas.

Iklan
Iklan

"Penumpang telah menerima makluman awal daripada syarikat penerbangan berhubung pembatalan penerbangan mereka sebaik operasi lapangan terbang di Jakarta di arah ditutup, maka tidak timbul kesesakan luar biasa di lapangan terbang.

"Keadaan penerbangan seterusnya bergantung kepada situasi di lapangan terbang di Jakarta dan kita menasihatkan penumpang supaya mengikuti pengumuman dan makluman terkini daripada syarikat penerbangan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, pihak berkuasa negeri akan terus memantau perkembangan berhubung gangguan penerbangan itu.

Tinjauan Bernama di LTAPP petang ini mendapati, keadaan di ruang berlepas dan ketibaan terkawal dengan pergerakan penumpang berjalan seperti biasa, manakala tiada kesesakan luar biasa dilihat di kaunter daftar masuk atau kawasan menunggu.

Iklan

Beberapa penumpang turut dilihat meneruskan urusan perjalanan seperti biasa, sementara penumpang yang terjejas mendapatkan maklumat lanjut daripada syarikat penerbangan masing-masing mengenai status penerbangan mereka.

Gunung Anak Krakatau, yang terletak di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera, terus meletus sehingga Sabtu, dengan pihak berkuasa melaporkan aktiviti pancutan lava dan bunyi dentuman dan gemuruh yang boleh didengar dari sebuah pos pemerhatian.

Letusan itu bermula pada jam 11.07 malam waktu tempatan pada Jumaat dan berterusan sepanjang pemerhatian dari tengah malam hingga jam 6 pagi semalam.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia melaporkan"adh” gunung berapi dikenal pasti setinggi 6,000 meter di bahagian Jawa gunung berapi itu, manakala kepulan sehingga 15,000 meter di bahagian Sumatera dan beberapa bahagian wilayah Banten di Jawa.

Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta telah digantung sehingga 1.30 tengah hari, waktu tempatan hari ini (2.30 petang, waktu Malaysia). - Bernama