Arkitek bergelar Datuk didakwa cabul anak lelaki pegawai kanan polis di gimnasium

Iklan
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Seorang arkitek bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan mencabul anak lelaki pegawai kanan polis di gimnasium Taman Melawati, Ahad lepas.

Datuk Saiful Anuar Abdul Aziz, 61, didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berumur 18 tahun dengan niat mencabul kehormatannya di bilik sauna (steam room) gimnasium di sebuah pusat beli-belah di Taman Melawati, pada 7.10 malam, 18 Oktober lepas.

Iklan
Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, M Ramanathan Alias Ashwin memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Iklan

Peguam K Theivaendran yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga termasuk ibu berumur 89 tahun yang uzur.

Majistret Siti Nur Ain Ariffin membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

Iklan

Mahkamah menetapkan 26 November ini untuk sebutan kes.

Pada Rabu lepas, media melaporkan seorang lelaki warga emas ditahan pegawai kanan polis berkenaan selepas didakwa mencabul anak lelakinya di sebuah pusat gimnasium di Melawati.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di pusat gimnasium itu bersama rakannya. - Bernama