Ustaz Wadi stabil, dibenarkan keluar hospital

Iklan
Kenderaan yang dinaiki Ustaz Wadi terbabit dalam kemalangan di Gerik pada awal pagi Jumaat.

GERIK - Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar yang dilaporkan cedera selepas terbabit dalam nahas tiga kenderaan kini berada dalam keadaan stabil dan sudah dibenarkan keluar hospital.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, maklumat awal memaklumkan, Ustaz Wadi Annuar mengalami kecederaan ringan termasuk sakit di bahagian dada.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 45 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, kira-kira jam 1.30 pagi itu membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dinaiki Ustaz Wadi Annuar, Perodua Myvi dan Perodua Bezza.

Menurutnya, kemalangan berkenaan membabitkan lapan individu dengan empat daripadanya mengalami kecederaan, manakala empat lagi tidak cedera.

Iklan

Difahamkan, semasa kejadian, Ustaz Wadi Annuar bersama pasukannya dalam perjalanan dari Gerik ke Jeli, Kelantan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Myvi yang dalam perjalanan dari arah Jeli menghala ke Gerik hilang kawalan ketika melalui selekoh di permukaan jalan basah selepas hujan.

Iklan

Katanya, kenderaan itu kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan Perodua Bezza yang datang dari arah bertentangan, sebelum bertembung dengan Toyota Vellfire yang berada di belakang.

"Akibat kejadian itu, dua penumpang Perodua Myvi mengalami kecederaan, masing-masing patah tangan kiri dan mengalami pendarahan di kepala.

"Dua penumpang Toyota Vellfire pula mengalami luka di bibir dan mengadu sakit di bahagian dada.

"Kesemua mangsa yang cedera diberikan rawatan di Hospital Gerik sebelum dua daripadanya dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut," katanya.

Mohd Alwi berkata, keadaan jalan di lokasi kejadian yang berselekoh, basah selepas hujan dan gelap tanpa kemudahan lampu jalan antara keadaan yang dikenal pasti ketika kemalangan berlaku.

Bagaimanapun katanya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika memandu, khususnya ketika melalui jalan berselekoh dan dalam keadaan hujan atau permukaan jalan licin," katanya.