KATHMANDU — Pasukan penyelamat di Nepal sekali lagi berdepan detik ajaib apabila berjaya mengeluarkan seorang seorang wanita tempatan dan lelaki warga China dalam operasi berasingan pada Sabtu.
Mereka antara mangsa yang berjaya diselamatkan selepas 10 hari banjir dahsyat melanda negara itu dan misi diteruskan bagi menjejaki ribuan mangsa yang masih hilang.
Jurucakap tentera memaklumkan, Chandrika Shrestha, 64, ditemui masih hidup selepas rumahnya di daerah Nuwakot ditenggelami timbunan lumpur tebal.
"Mangsa telah diterbangkan ke Kathmandu untuk rawatan susulan," ujarnya.
Di terowong projek tenaga hidro Trishuli pula, seorang lagi pekerja dikenali sebagai Lu Haitao berjaya dibawa keluar hidup-hidup, sekali gus menjadikan tiga mangsa termasuk dua warga tempatan selamat setakat ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini memfokuskan 12 projek tenaga hidro di seluruh Nepal dengan kira-kira 900 pekerja masih hilang manakala 500 lagi dipercayai terperangkap di beberapa terowong.
Pasukan penyelamat khusus dari India, China, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) terus melakukan pencarian di celah runtuhan, struktur yang rosak serta terowong di projek-projek berkenaan dengan harapan menemui mangsa yang masih hidup.
Angka korban bencana itu telah mencecah 1,300 orang manakala lebih 5,000 lagi masih gagal dikesan. - Agensi